PANAS!!! Jika Umno terima jawatan TPM untung jangka pendek, sakit jangka panjang, kata penganalisis

Umno akan merosakkan kepentingannya sendiri, jika ia menerima jawatan timbalan perdana menteri, menurut penganalisis politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya.

“Ini keuntungan jangka pendek dan kesakitan jangka panjang,” katanya kepada FMT mengulas laporan Umno sedang mempertimbangkan beberapa nama untuk dicalonkan bagi jawatan TPM. Ia termasuk Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presidennya, Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Sembrong yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional, Hishammuddin Hussein.

Katanya, Umno akan merumitkan lagi keadaan bagi dirinya dan hubungannya dengan PPBM, jika ia diberikan jawatan tersebut.

Beliau berkata, penolakan Zahid sebagai calon akan memberi tamparan besar kepada parti itu kerana ia seolah-olah kedudukan presiden PPBM lebih tinggi daripada presiden Umno, sedangkan hakikatnya PPBM bergantung kepada sokongan Umno untuk kelangsungan politiknya.

Spekulasi timbul mengatakan Zahid tidak akan ditawarkan jawatan itu kerana perbicaraan rasuahnya yang sedang berlangsung.

Awang Azman berkata, sekiranya Umno menerima jawatan TPM, Perikatan Nasional akan bertambah kuat hasil daripada kestabilan politik.

“Apa yang terbaik bagi Umno ialah mengasingkan diri daripada kepimpinan PN, yang mencadangkan pengisytiharan darurat yang ditolak Yang di-Pertuan Agong dan rakyat.

“Umno juga perlu memastikan ia tidak akan kehilangan kerusi kepada PPBM dalam pilihan raya umum akan datang akibat rundingan lemah.”

Katanya, akar umbi parti itu mahu melihat Umno sebagai kuasa dominan dan parti yang berani membuat keputusan.

“Jawatan TPM tidak akan membantu memperbaiki imej pemimpin dan ahli Parlimen parti itu yang lemah, satu imej yang mereka dapat selepas Umno mengulangi sokongannya kepada kerajaan PN.”
James Chin.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania percaya Zahid tidak mungkin dicalonkan kerana perbicaraan rasuahnya.

“Saya rasa kemungkinan besar Hishammuddin kerana beliau calon ‘tengah jalan’ dengan musuh paling sikit. Tetapi, apa saja boleh berlaku, malah mungkin seseorang yang tidak tersenarai.”

Beliau berkata, Umno mungkin mahu mengawal kementerian ekonomi utama kerana ini sangat penting untuk mendapat perlindungan dan mengekalkan sokongan.

Kedudukan seperti itu, katanya, kini dipegang mereka yang sekutu dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/29/untung-jangka-pendek-sakit-jangka-panjang-jika-umno-terima-jawatan-tpm-kata-penganalisis/