Saya tegur tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia yang buat keputusan untuk tutup semua sekolah yang ditabdir di bawah KPM termasuklah di negeri yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Keputusan KPM dibuat pada 8 November dan sekolah terus ditutup pada 9 November.
Saya tegur bukan kerana saya tidak cakna soal kesihatan pelajar dan guru-guru. Saya faham risiko penularan wabak pandemik jika pelajar berkumpul di sekolah.
Tapi saya tegur kerana keputusan dicapai KPM adalah pada minit terakhir dan tidak ada rancangan jelas untuk berhadapan dengan semua kesan-kesan lain apabila semua sekolah seluruh negara ditutup pada minit akhir.
Ada beberapa persoalan saya dalam bab ini:
1. Apakah rancangan Kementerian untuk memastikan pelajar miskin dan susah dapat belajar di rumah?
2. Apakah inisiatif untuk bantu pelajar yang akan menghadapi peperiksaan utama pada awal tahun hadapan?
3. Adakah kerajaan akan bantu tampung wang bayaran asuhan untuk ibu bapa hantar anak-anak kecil mereka di pusat asuhan sebelum ke tempat kerja?
Kementerian tidak boleh umum sekolah tutup kerana risiko penularan wabak Covid-19 tetapi tidak ada rancangan awal untuk memastikan sekurang-kurangnya pembelajaran mereka tidak terganggu.
Itu langkah yang kurang bijak. Malah, kita semua tahu wabak Covid-19 bukan baru berlaku minggu ini tetapi sudah hampir cecah satu tahun.
Seharusnya, kerajaan buat langkah ini dengan kadar segera.
Mereka patut sudah ada rancangan, strategi dan cara yang terbaik untuk bantu ibu bapa dan pelajar di seluruh negara.
4. Adakah kerajaan akan menyuntik bantuan kewangan kepada semua pengusaha kantin yang mengalami kerugian akibat penutupan semua sekolah?
5. Adakah pengusaha syarikat bas sekolah akan dapat bertahan sehingga tahun hadapan?
Ini juga adalah kesan ekonomi kepada industri berkaitan pendidikan. Bayangkan, nasib lebih 10,000 pengusaha kantin akan gulung tikar jika sekolah tutup hingga tahun hadapan. Gaji pekerja masih harus dibayar. Sewa kedai masih berjalan.
Kalau 10,000 syarikat pengusaha kantin ini gulung tikar, saya pasti pekerja mereka juga hilang kerja.
Inilah kesan domino ekonomi hasil keputusan minit terakhir Kementerian Pendidikan untuk tutup sekolah.
Ini apa yang Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) kongsi.
Begitu juga dengan nasib pengusaha bas sekolah. Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) menjangkakan kira-kira 80 peratus pengusaha bas sekolah di seluruh negara gulung tikar pada tahun hadapan.
Maksudnya, keputusan KPM sudah memufliskan 8 dari 10 buah syarikat bas sekolah seluruh negara.
Sebab itu saya beri cadangan yang boleh diteliti oleh pihak kerajaan dan kementerian.
1. Berikan kebenaran kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan umum untuk hadir ke sekolah.
2. Beri bantuan kewangan segera untuk pelajar miskin dan susah mendapatkan akses bahan belajar di rumah.
Sekurang-kurangnya, jika pelajar yang perlu menghadapi SPM, STPM, SVM dan STAM tahun ini, mereka boleh hadir ke sekolah dan belajar untuk peperiksaan. Buatlah sistem giliran hari antara pelajar yang berbeza tingkatan ini.
Melalui cara ini, sekurang-kurangnya kerugian pengusaha kantin dan bas masih boleh bernafas. Betul, untung akan makin susut.
Tapi, ini jauh lebih baik dari tutup semua sekolah dan tutup perniagaan semua.
Untuk pelajar yang belum menghadapi peperiksaan tahun ini, belajar di rumah. Kerajaan wajib bantu sediakan bahan belajar dan akses internet. Beri laptop, beri buku latihan, buat kerjasama dengan RTM untuk ajar dari tv di rumah masing-masing.
Untuk anak-anak yang masih kecil, bantu ibu bapa mereka dengan bayaran wang atau rebat diskaun di tempat asuhan. Kerajaan wajib tolong.
Saya pasti ramai cikgu yang sedia menyediakan modul belajar atas talian.
Sebab itu saya tegur KPM yang tidak ada rancangan sebegini. Kementerian ini ada peruntukan yang besar (juga paling besar untuk Belanjawan 2021). Jadi, bantulah. Jangan hanya kerana Covid-19, pelajar sudah tidak lagi boleh belajar dan perniagaan pun akan tutup dan muflis.
Nak seribu daya, tak mahu sejuta dalih.
Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/550417