Dr Mahathir Mohamad berkata dia terbuka dengan cadangan untuk berbaik semula dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin walaupun mengambil ketetapan untuk menolak Belanjawan 2021.
Dalam wawancara yang disiar secara langsung oleh Astro Awani, Mahathir merujuk kepada Parti Buruh dan Parti Konservatif di United Kingdom yang pernah bekerjasama ketika berdepan ancaman Jerman beberapa dekad lalu.
“Itu kena caranya (ketawa), ada cara-caralah, tapi tak payah saya pula nak cerita berkenaan dengan cara yang boleh saya kembali kerjasama dengan dia.
“Saya masih berpendapat bahawa di waktu getir kita kurangkan politik, terutama politik parti, kita utamakan politik negara.
“Kita hadapi masalah yang cukup besar, kita punya ekonomi merosot. Kita menghadapi pandemik, jadi itu perkara utama,” katanya.
Mahathir juga ditanya sekiranya terdapat usaha dilakukan oleh Perikatan Nasional untuk memujuknya berbaik semula dengan Muhyiddin.
Bagaimanapun katanya, dia menolak tawaran itu kerana tidak dapat bekerjasama dengan enam pemimpin Umno yang menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah.
“Dah dibuat dah, tapi saya kata kena syaratlah, saya masuk. Mereka nak tonjol saya sebagai menyertai mereka, itu bukan caranya.
“Saya dapati banyak tak kena. Satu daripadanya kerajaan ni lebih kurang sama dengan kerajaan Najib (Razak) juga.
“Guna duit, beli wakil rakyat jatuhkan kerajaan, kerja macam tu saya tak terima sebab tu apabila mereka cadang nak buat PN, suruh jadi ketua juga, saya tak nak,” katanya.
Terdahulu hari ini, Mahathir, yang juga ahli parlimen Langkawi berkata dia dan rakan-rakannya tidak akan menyokong Belanjawan 2021 apabila undi diadakan di Dewan Rakyat esok.
Ku Li cadang tukar kerajaan
Sementara itu, Mahathir mendedahkan usaha yang dilakukan pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah untuk menukar kerajaan.
“Dia mempunyai cadangan kononnya untuk kita tukar kerajaan dan dia berpendapat bahawa dia boleh cari cukup orang daripada pihak kerajaan untuk keluar daripada kerajaan. Tetapi benda tu tak berlaku.
“Saya bersetuju dengan siapa saja, tapi naklah dapat sokongan majoriti, kalau sokongan majoriti dapat kepada Ku Li, dia boleh jadi PM,” katanya.
Pertemuan bekas perdana men teri itu dan Tengku Razaleigh pada 26 Okt lalu menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan terbentuknya kerajaan perpaduan, yang ditolak Mahathir sendiri sebelum ini.
Ditanya mengenai Belanjawan 2021, Mahathir berkata, dia percaya ia akan diluluskan di Dewan Rakyat walaupun ramai pihak tidak berpuas hati.
“Terdapat peruntukan-peruntukan yang tidak sepatutnya ada dalam bajet, umpamanya apa perlunya kita bangunkan pejabat-pejabat baru sedangkan kita perlukan wang untuk lawan Covid. Segala perbelanjaan tidak mustahak perlu digugurkan.
“Kalau mereka terima cadangan kita, kita akan sokong. Tapi nak sokong bulat -bulat macam kita sign blank cheque tak boleh,” katanya.