Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyedari rancangan digelar ‘Langkah Dubai’ yang bertujuan untuk menggugat kedudukan kerajaan, namun beliau merasakan usaha tersebut sebagai membuang masa.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan bahawa sebarang cubaan menukar kerajaan melalui akuan bersumpah (SD) bukanlah cara yang bijak.
“Kami memperoleh laporan perisikan seawal penerbangan mereka ke tempat itu (di Dubai).
Laporan seterusnya juga kami peroleh, tetapi pada pandangan kami, langkah ini hanyalah membuang masa.
Tidak ada langkah yang berasaskan keputusan hanya kepada akuan bersumpah, dan saya fikir langkah yang mereka ambil bukan satu langkah yang baik kerana mereka sudah melibatkan ‘tebuk atap’ ini beberapa kali,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Oleh itu, Zahid, yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri, mengingatkan pemimpin yang terlibat, khususnya dari UMNO, perlu menyedari bahawa mereka terikat dengan undang-undang mengenai pemindahan parti dan keputusan dasar parti.
“Kita harus berhusnuzon dalam perkara begini, apa pun langkah yang diambil, mereka perlu memahami bahawa terdapat Akta Anti Lompat Parti yang perlu mereka patuhi. Ia memerlukan keputusan besar dari parti dan melibatkan keputusan secara kolektif.
“Yang penting, apabila rakyat memberikan mandat kepada parti dan menyokong ahli Parlimen yang dipilih, dan kini kita lihat Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dua pertiga, ini bermakna rakyat mengharapkan keadilan agar politik diperkukuhkan,” tegasnya.
Baca juga : GPS tak minat layan Langkah Dubai, terus sokong Anwar