Wakil rakyat Pas bantah penjualan arak adalah wajar – Presiden Gerakan

Wakil rakyat Pas bantah penjualan arak adalah wajar. Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau meminta isu promosi penjualan arak sempena perayaan Tahun Baharu Cina di sebuah pusat membeli belah di Seberang Jaya, Pulau Pinang tidak terus dipolitikkan.

Katanya, Gerakan telah mendapat penjelasan yang disifatkan adil daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, berhubung tindakannya membantah promosi tersebut.

Lau berkata, sebagai wakil rakyat di kawasan yang majoritinya orang Melayu dan Islam, tindakan Muhammad Fawwaz adalah wajar.

Namun, katanya, Gerakan masih berpendapat promosi penjualan arak harus dibenarkan memandangkan ia hanya dilaksanakan semasa Tahun Baharu Cina dan tidak mengambil masa yang panjang.

“Promosi ini memang hanya dibuat menjelang Tahun Baharu Cina sahaja. Jika ini bulan Ramadan, dan semasa Hari Raya, saya pun tidak setuju.

“Jika ada tekanan daripada pengundi di Permatang Pauh, beliau (Muhammad Fawwaz) kena mendidik mereka bahawa negara kita berbilang kaum, agama dan budaya.

“Kita mesti jelaskan, promosi ini hanya untuk jangka masa sangat pendek. Lagipun, peniaga hanya dapat sikit pendapatan kerana keadaan ekonomi.

“Kaum Cina akan meraikan perayaan, jadi nak cari duit, jadi kita mesti berikan laluan untuk adakan promosi seperti ini,” katanya pada sidang media di pejabat Gerakan di sini semalam.

Lau berkata, isu tersebut boleh diselesaikan dengan baik dan aman dengan persefahaman semua pihak dan tidak perlu dihangatkan oleh parti politik yang seharusnya memahami adat resam budaya dan agama di negara ini.

Baru-baru ini, Muhammad Fawwaz berkunjung ke sebuah pusat membeli belah dan menyatakan bantahan terhadap penjualan arak secara terbuka di situ.

Tindakan pengurusan pusat membeli belah membenarkan promosi sedemikian disifatkannya sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Difahamkan, promosi jualan minuman keras itu diadakan sempena perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

BACA JUGA:

Dua penumpang cedera akibat ’Power Bank’ terbakar dalam pesawat

Gudang Elrah Exclusive dianggarkan 30 peratus kemusnahan akibat kebakaran

Majlis angkat sumpah jemaah Menteri di Istana Negeri Sabah pagi ini

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Wakil rakyat Pas bantah penjualan arak adalah wajar – Presiden Gerakan […]