Parti Mahathir yang hampir serupa nasib Muafakat Nasional, menanti rebah

Parti Mahathir yang hampir serupa nasib Muafakat Nasional, menanti rebah. Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendedahkan sebab sebenar beliau meletak jawatan selaku Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan dan Ahli Majlis Eksekutif Pejuang (MEP) Pusat; adalah sebagai protes terhadap cadangan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mencadangkan supaya parti itu menyertai Pakatan Harapan (PH) semula semasa mesyuarat MEP baru-baru ini.

Khairuddin menjelaskan punca utama melepaskan jawatan tersebut adalah kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz selepas bekas Menteri Besar Kedah itu mengemukakan cadangan supaya mereka menjadi sebahagian daripada parti gabungan PH berikutan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Bekas calon Gerakan Tanah Air (GTA) kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU15 itu berkata, perkara berkenaan dikuatkan lagi dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang pada 16 Disember lalu.

“Saya hilang kepercayaan kepada Presiden kerana bekas Menteri Besar Kedah berkenaan mencadangkan supaya Pejuang menyertai PH semasa mesyuarat MEP selepas PRU15 lalu.

“Mukhriz juga tidak mahu kekal bersama Gerakan Tanah Air (GTA) dan menolak cadangan Tun Dr Mahathir mahu berehat daripada tugas selaku Pengerusi Pejuang,” katanya dalam penjelasan ringkas mengenai punca sebenar beliau meletak jawatan berkenaan berkuat kuasa mulai Selasa.

Tindakan Khairuddin, Dr Mahathir dan beberapa pemimpin lain meninggalkan Pejuang menyebabkan parti berkenaan kini menghadapi pergolakan dalaman yang semakin serius, sekali gus mengakibatkan pengundi hilang keyakinan terhadap mereka.

Malah, sehingga kini difahamkan lebih 10 pemimpin tertinggi termasuk ahli MEP dan Ketua Pejuang negeri sudah berbuat demikian dengan menghantar surat peletakan jawatan masing-masing kepada Setiausaha Agung, Datuk Aminuddin Hamzah.

Antara pemimpin yang sudah melepaskan jawatan mereka termasuklah Timbalan Presiden Pejuang merangkap Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya; Ketua Muda Pejuang, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin; Ahli MEP, Abu Bakar Yahya dan terbaru, Khairuddin.

Difahamkan, mereka membuat keputusan drastik meletakkan jawatan masing-masing kerana tidak bersetuju dengan cadangan pucuk pimpinan tertinggi yang mahu parti diasaskan Dr Mahathir itu menyertai PH demi survival politik pemimpin tertentu.

Dalam pada itu, Khairuddin menegaskan beliau kini mengambil sikap tunggu dan lihat apa kenyataan balas bakal dikeluarkan oleh Mukhriz, sebelum mendedahkan kepincangan sebenar wujud dalam parti berkenaan.

“Saya mahu tunggu apa kenyataan Mukhriz dan kalangan pemimpin yang mengkhianati perjuangan Dr Mahathir selama ini bersuara dan memberi maklum balas terhadap kenyataan saya ini dulu.

“Jika mereka memberikan kenyataan dengan memanipulasi fakta, Insya-ALLAH saya akan membuat sidang media bagi mendedahkan sepenuhnya siapakah dalang sebenar yang cuba menjatuhkan Dr Mahathir,” ujar beliau.Sementara itu, Abu Bakar ketika dihubungi menegaskan beliau bertindak meletakkan jawatan susulan keputusan mesyuarat MEP pada 15 Disember lalu dan susulan keputusan Dr Mahathir mengundurkan diri daripada tanggungjawab sebagai Pengerusi Pejuang.

SETIA BERSAMA DR. MAHATHIR

Abu Bakar berkata, beliau melepaskan semua jawatannya dalam Pejuang termasuk Ahli MEP demi prinsip dan perjuangannya yang sentiasa setia bersama Dr Mahathir.

“Selama ini saya yakin dengan perjuangan Dr Mahathir yang sentiasa kekal berprinsip dan tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama.

“Apabila Pejuang sudah tidak berpegang kepada prinsip perjuangan asal dan mahu keluar daripada GTA… Apabila Pejuang menerima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi, kami sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti. Kami lebih yakin kepada kepimpinan dan ketelusan Dr Mahathir berbanding Mukhriz,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan beliau dan rakan seperjuangannya memilih untuk melepaskan jawatan dalam parti kerana faktor cadangan Mukhriz mahu Pejuang ‘rujuk semula’ dengan PH, ini jawapan Abu Bakar: “Saya memang sahkan perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat MEP tetapi rasanya baik kamu tanya Presiden sendiri. Bagaimanapun, saya boleh sahkan bahawa saya bersama beberapa pemimpin MEP lain akan melepaskan semua jawatan dalam parti Pejuang, dalam masa terdekat. Malah, saya yakin lebih 10 ahli MEP akan meletakkan jawatan masing-masing juga dalam masa terdekat.

“Saya tidak tahu (sama ada Pejuang akan runtuh atau tidak) kerana ia adalah tanggungjawab Presiden selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan selaku Pengerusi Pejuang,” jelasnya.

BACA JUGA:

Bersambung Jumaat, pencarian akhir di tanah runtuh Batang Kali

Taja RM1.1 juta naik taraf pameran orang utan Borneo di Zoo Negara, MPOGCF pupuk kesedaran pemuliharaan hidupan liar

Prakash didakwa menipu wanita, yang juga Penolong Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hingga kerugian sebanyak lebih RM500k

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Parti Mahathir yang hampir serupa nasib Muafakat Nasional, menanti rebah […]