UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak campur urusan Pas untuk mendaftar Perikatan Nasional (PN) bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Pas terlibat dalam pendaftaran PN bersama Bersatu namun UMNO tidak akan menyertainya.
–– ADVERTISEMENT ––
Bagaimanapun, kesemua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu akan terus menyokong pentadbiran kerajaan PN.
“Kita tidak mahu mencampuri urusan parti lain biarpun mereka bersama Muafakat Nasional tetapi pendirian UMNO dan BN cukup jelas bahawa ahli-ahli Parlimen dan ADUN kita menyokong kerajaan PN.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO umum tarik diri daripada Perikatan Nasional
“Tetapi kita mengambil keputusan muktamad bahawa parti kita tidak akan menyertai PN sebagai komponen namun kita terus mendukung kerajaan yang ada di peringkat pusat dan negeri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Felda Besout 3, Sungkai di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Pas yang terlibat sama di dalam jawatankuasa pendaftaran PN.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan bahawa parti itu bersama Bersatu dalam proses menubuhkan PN.
Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Ahmad Zahid meminta calon BN, Mohd Zaidi Aziz terus bertemu pengundi biarpun semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah dikunjungi.
Jelasnya, gerak kerja PRK kali ini agak mencabar kerana salah satu calon Bebas bertanding didukung oleh parti yang baharu mengemukakan pendaftarannya.
“Perkara itu tentunya sesuatu yang harus didepani dengan semua kaedah pilihan raya.
“Ini berbeza dengan PRK DUN Chini kerana ketika itu keadaan parti yang keluar tak sama,” katanya.
Bagaimana katanya, semua permasalahan yang ada di DUN Slim akan ditangani seluruh kepimpinan BN dan UMNO untuk memastikan kemenangan milik BN.
berita penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/97409/BERITA/Politik/UMNO-tidak-campur-urusan-Pas-daftar-PN-bersama-Bersatu