Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kelantan Sdr Hazmi Hassan bertanya adakah Pas sebenarnya tidak boleh tinggalkan Umno kerana takut hilang jawatan yang diraih bersama melalui kerajaan pintu belakang ini.
Dalam satu siaran video di saluran YouTube Jeming Hassan, beliau membangkitkan semula kisah pertembungan keras di antara Pas dan Umno suatu ketika dahulu.
Dulu begitu gagah dan yakin Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang mengajak serta menghasut umat Islam di Malaysia supaya melawan Umno. Kata Hadi, Pas melawan atau menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Pas menentang Barisan Nasional bukan kerana BN lama memerintah kerajaan. Pas menentang Umno BN ialah kerana mereka mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir dan mengekalkan peraturan jahiliyah.
Tercatat dalam sejarah negara, perpecahan dikalangan umat Islam Malaysia ketika itu begitu ketara. Sembelihan orang Umno haram dimakan, solat di belakang imam Umno tidak sah, imam enggan urus jenazah orang Umno, anak tuduh ayah kafir kerana menyokong Umno dan pelbagai lagi perpecahan dikalangan umat Islam Malaysia bahkan dikalangan ahli keluarga penyokong kerana berbeza parti.
Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah memutuskan bahawa ajaran Hadi (Amanat Haji Hadi) bercanggah dengan ajaran Islam dan prinsip dakwah Islamiah. Amanat itu dengan jelas mengisytiharkan perlembagaan negara ini kafir dan rakyat diseru untuk berjihad menentang kerajaan.
Lukisan mural mirip wajah Hadi memegang kain rentang tertera, “Peristiwa Sauk sandiwara Umno” menghiasi dinding Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kesan pertembungan Umno Pas.
Bukan itu sahaja, bahkan Umno juga menyifatkan Pas melahirkan “pengganas/penyokong Pas” di Sekolah Agama Rakyat melalui lukisan dua jaram dengan lambang Pas.
Namun hari ini, siapa sangka Pas Umno akhirnya bersama. Walau pada awalnya Hadi sentiasa menipu ahlinya konon Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno.
Hari ini apabila Pas dan Umno bersama, Hadi perlu menjelaskan kedudukan amanat tersebut. Ini kerana sehingga ke hari ini Hadi tidak pernah menarik balik amanat tersebut bahkan pernah memberitahu bahawa amanat itu disiarkan dengan tidak adil dan beliau berani untuk menjelaskan suasana sebenar di TV 1 selama satu jam.
Hari ini apabila Pas menyatakan tidak boleh berpisah dengan Umno maka inilah masa yang sesuai untuk Hadi menarik balik serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Atau jika Hadi enggan tarik balik seperti mana sebelum ini, maka adalah satu keperluan untuk Hadi menjelaskan apakah maksud amanat tersebut. Adakah kini Umno tidak berdosa mengekalkan perlembagaan penjajah dan adakah seruan jihad melawan Umno itu masih releven atau tidak.
Kini adakah Pas tidak mampu berpisah dengan Umno itu kerana agama atau hanya kerana mengejar dunia semata-mata?
Sumber :