Pasangan warga emas tak pernah lelah urus anak OKU sejak 11 tahun lalu
Usia meniti senja tidak menghalang pasangan warga emas untuk terus cekal menjaga dan menguruskan anak lelaki anak orang kurang upaya (OKU) yang terlantar sejak 11 tahun lalu.
Zuriah Ibrahim, 61, berkata, dia tidak pernah lelah menguruskan anaknya, Abdul Rahman Hasan, 31, namun apa yang dibimbangkan nasib anak syurganya itu sekiranya dia atau suami, Hasan Mat, 67, ‘pergi’ terlebih dahulu.
Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu dilahirkan normal, namun segalanya berubah apabila dia diserang demam panas ketika berusia empat tahun dan lama kelamaan mula kehilangan keseimbangan untuk berjalan.
“Bagaimanapun, pada usia 20 tahun, anak saya sudah lagi tidak mampu berjalan serta menguruskan diri dan hanya terbaring kaku di atas katil selain akan merengek untuk menarik perhatian apabila lapar atau memerlukan susu.
“Sejak itu, segala keperluan Abdul Rahman dilakukan secara bergilir-gilir dengan suami termasuk menyuap makan, minum, menukar lampin pakai buang dan memandi atau mengelap badannya pada setiap hari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bunut Payong, di sini, hari ini.
Zuriah berkata, setiap bulan dia perlu membelanjakan hampir RM1,000 untuk membeli keperluan Abdul Rahman dan bersyukur anaknya itu memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan yang dapat meringankan beban ditanggung.
“Wang bantuan yang diperoleh ini digunakan sepenuhnya untuk membeli keperluan Abdul Rahman, namun ada kalanya ia tidak mencukupi.
“Anak saya hanya bergantung susu formula yang diberikan dua kali sehari selain makan bijiran dan makanan lembut.
“Suami saya hanya bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu manakala dua lagi anak perempuan masing-masing sudah berkahwin dan sebolehnya tidak mahu membebankan mereka walaupun ada membantu,” katanya.
Katanya, meskipun tulang empat keratnya sudah tidak sekuat mana, dia berjanji akan tetap menjaga anak syurganya itu dengan penuh kesabaran dan kasih sayang sehingga ke akhir hayatnya.
BACA JUGA:
Susah nak kejutkan anak waktu pagi, kan mommies? Hah, berikut ada 6 tips menceriakan pagi anak-anak
Angka kematian meningkat kepada 3,830, gempa bumi susulan di Turkiye, Syria semalam