Pasport Malaysia kini menduduki tempat ke-10 paling berkuasa di dunia menerusi Senarai Kedudukan Kuasa Pasport Global 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini.
Senarai tersebut telah dikeluarkan oleh Passport Index dengan menilai skor mobiliti keseluruhan yang dimiliki setiap pasport di seluruh dunia.
Skor mobiliti pasport dinilai daripada jumlah negara yang membenarkan perjalanan tanpa visa, visa semasa ketibaan atau keperluan untuk memohon visa terlebih dahulu.
Menduduki di tangga pertama adalah pasport milik Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang memiliki skor mobiliti teringgi iaitu 179. Difahamkan, pasport UAE telah mengekalkan kedudukannya walaupun kehilangan satu mata berbanding dengan tahun lepas.
Pasport ini membenarkan pemegangnya untuk mengembara ke 134 negara tanpa visa. Manakala, pemegang pasport UAE juga mendapat visa semasa ketibaan di 45 negara dan hanya perlu untuk memohon visa terlebih dahulu bagi 19 negara.
Kedudukan teratas didominasi pasport-pasport dari negara Eropah
Selain itu, sebanyak lima buah pasport yang menduduki tangga kedua iaitu Perancis, Jerman, Itali, Belanda dan Sepanyol.
Pasport-pasport yang menduduki tangga ketiga juga rata-ratanya milik negara-negara Eropah. Antaranya Sweden, Finland, Luxembourg, Austria dan Switzerland.
Bukan itu sahaja, tangga keempat dalam senarai ini juga didominasi pasport daripada negara-negara Eropah seperti Beligium, Denmark, Portugal, Norway, Greek, Poland dan Ireland.
Singapura dan Korea Selatan telah memecah dominasi apabila menjadi negara Asia kedua yang memiliki pasport terkuat di dunia, selepas UAE. Pasport berkenaan telah menduduki tangga kelima bersama beberapa pasport negara lain seperti United Kingdom (UK), Republik Czech dan Hungary.
Seterusnya, New Zealand telah menjadi pasport terkuat dalam benua Oceania dan menduduki tangga keenam dunia bersama Jepun, Estonia, Lithuania dan Slovakia
Pasport milik beberapa negara dari benua Amerika Utara pula berada di tangga ketujuh iaitu pasport Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. Bersama mereka adalah Malta, Slovenia, Latvia, Croatia dan Australia.
Pasport Iceland dan Liechtenstein telah menduduki tangga kelapan, dengan memperoleh skor mobiliti sebanyak 171.
Dengan perbezaan satu mata, pasport Cyprus, Romania dan Bulgaria mendapat kedudukan sembilan teratas dalam senarai.
Akhir sekali, Malaysia turut tersenarai di tangga kesepuluh bersama Monaco dengan skor mobiliti 168. Melalui skor ini, pasport Malaysia merupakan pasport kelima terkuat di Asia dan kedua terkuat di rantau Asia Tenggara.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Isnin memaklumkan bahawa mereka kini sedang menjalankan kajian untuk memanjangkan tempoh sah laku pasport Malaysia kepada 10 tahun berbanding lima tahun yang diaplikasi ketika ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kajian itu dijangka siap dalam tempoh munasabah sebelum satu dasar dibuat berkaitan perkara itu.
Untuk pengetahuan, negara jiran kita iaitu Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura juga sudah menggunakan tempoh sah laku pasport selama 10 tahun.
BACA: Barang banyak serabut, ini tips hias rumah nampak kemas