Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tiba tidak lama lagi, maka kebanyakan penduduk di Malaysia mula membuat persiapan sehinggalah saat-saat terakhir.
Antara persiapan yang dilakukan adalah seperti menukarkan hiasan dalaman rumah, membuat kuih raya dan juadah raya dan sebagainya.
Manakala, antara perkara yang sering dinanti-nantikan adalah menyarungkan pakaian serba baharu pada waktu pagi raya.
Bagaimanapun, di saat negara sedang menuju ke dunia maju sesetengah rakyat memilih untuk berjimat-cermat dengan hanya membeli barangan keperluan dan bukan kemahuan.
Perkara itu mendorong mereka untuk tidak membeli pakaian raya dan hanya memakai pakaian pada tahun lepas.
Oleh yang demikian, sehingga kini masih terdapat segelintir masyarakat yang masih belum membuat pembelian pakaian raya, meskipun lebaran lagi beberapa minggu sahaja.
Baru-baru ini, satu video berbentuk gambar yang dipaparkan seorang individu bernama Ieywan (@ieywanfuhh) di TikTok meraih perhatian ramai.
Lelaki tersebut hanya meletakkan ayat yang ‘simple’ namun mampu membuatkan ramai berinteraksi antara satu sama lain, meluahkan isi hati yang terbuku.
“Rupanya ramai lagi yang tak beli baju raya tahun ni. Yang tak beli sila hadir,” tulisan pada hantaran tersebut.
Hantaran tersebut telah mendapat lebih daripada 2.5 juta tontonan dan kira-kira 36,7000 warga maya meninggalkan komen, meluahkan perasaan selain menceritakan sebab mereka tidak membeli pakaian baharu pada perayaan kali ini.
Jawapan yang diberi kebanyakannya kerana dua sebab, iaitu faktor kewangan dan faktor tiada keinginan untuk beraya.
Faktor kewangan
Menelusuri setiap komen, ini merupakan antara sebab mengapa orang ramai masih tidak memiliki baju raya untuk tahun ini.
Rata-ratanya merupakan golongan yang sudah berkeluarga dan memiliki anak-anak yang masih kecil dan disebabkan itu mereka memilih untuk memakai pakaian apa yang ada di rumah mereka.
“Saya sekeluarga tidak membeli walaupun anak-anak meminta walaupun sepasang. Tapi apakan daya, faktor kewangan tidak mengizinkan. Pulang ke kampung pun tidak.,” komen salah seorang pengguna.
“Saya baju dan kasut sekolah pun suruh anak pakai yang lama-lam… Adik dengan abang… Yang tengah memang kena beli sebab dah jadi pengawas. Beg ada orang sedekah, alhamdulillah.. Baju raya?? Tak tahulah, Harap-harap ada rezeki untuk anak-anak saya.” curahan hati seorang penjaga.
Secara lazimnya, kebanyakan pengguna terpaksa berjimat disebabkan terdapat keperluan yang lebih penting yang perlu didahulukan seperti membeli baju sekolah susulan sekolah dibuka semula pada awal bulan Mac ini.
Faktor tak sampai mood raya
Ada juga yang tidak membeli baju raya disebabkan perasaan teruja untuk menyambut perayaan tersebut sudahpun ‘tiada’.
Bagi segelintir pengguna, mereka menyifatkan sambutan hari raya pada masa kini tidak semeriah dahulu dan menyebabkan mereka sudah tidak lagi teruja untuk menyambut perayaan tersebut.
Kehilangan orang tersayang juga merupakan faktor utama keterujaan untuk menyambut perayaan ini semakin berkurangan.
“Saya sejak berpisah dengan suami. Dah 10 tahun ni tak pernah beli baju raya,” komen warga maya.
“Masuk tahun ni 4 tahun tak beli baju raya selepas kematian arwah isteri,” curahan hati seorang lelaki.
“Saya tiada mood nak raya sebab baru kehilangan anak syurga yang tersayang. Dia telah kembali ke rahmatullah baru sebulan. Puasa dan raya kali ni tanpa anak. Sakit yang terpaling dalam hidup saya… Allah je tahu,” tulisnya netizen.
“Dah berbelas tahun tak pernah beli baju raya… Tambahan semenjak arwah ibu dan ayah pergi… Tiada makna hari raya lagi dalam hidup ini kerana tinggal aku seorang,” antara komen-komen yang diberikan pengguna.
Secara ringkasnya, rata-rata pengguna sedang mengikat perut atas kekangan bajet pada tahun ini.
Ada juga berapa pengguna yang memberi cadangan dan platform untuk membeli baju raya dengan harga kurang daripada RM50.
Ada juga pengguna TikTok yang mengatakan bahawa baju raya sebenarnya tidak penting sebaliknya, peluang untuk berkumpul sanak saudara adalah lebih penting.
Baca juga: “Aku diperkosa abang kandung sendiri sampai 3 kali aku hamil, anak dah usia 2 tahun”