PEDIH !!! Utama kebajikan rakyat bukan projek kampung al-Quran, mufti “bahasakan” Annuar

Oleh Admin

Hasrat Kementerian Wilayah Persekutuan diketuai menterinya Annuar Musa mendirikan perkampungan al-Quran “Quranic Village” dijangka menelan kos RM150 juta pada 2021 perlu ditangguhkan.

Ia disuarakan pemimpin agama termasuk Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor, yang melihat projek itu bukan keutamaan ketika negara bergelut memerangi Covid-19.

“Dalam suasana negara sedang bergelut melawan pandemik Covid-19, kerajaan mesti mengambil langkah berjimat cermat dengan keutamaan perlu diberikan kepada usaha memelihara kesihatan rakyat dan membantu mereka dari sudut ekonomi yang terjejas,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Annuar melalui Twitter memaklumkan reka bentuk perkampungan al-Quran sudah hampir siap dan secara dasarnya Putrajaya sudah bersetuju dengan projek itu.

“Peruntukan awal sudah diluluskan dan tapak 20 ekar juga sudah diluluskan. Kita akan memulakan pembinaan 2021,” katanya.

Wan Salim berkata, pihaknya tidak membantah inisiatif Annuar untuk mewujudkan perkampungan itu, namun menasihatkan ahli Parlimen Ketereh berkenaan supaya melaksanakannya ketika ekonomi dan kewangan negara kembali stabil dan kukuh.

“Kita tidak membantah gagasan perkampungan al-Quran seperti ingin dibangunkan Menteri Wilayah Persekutuan itu, namun kita berpendapat ia tidak sesuai dilaksanakan dalam situasi sekarang. Projek ini boleh ditangguhkan sehingga ekonomi dan kewangan negara kembali stabil dan kukuh.

“Lagipun, kita sudah mempunyai Darul Quran bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang boleh memainkan peranan dalam pengembangan ilmu berkaitan al-Quran dan meningkatkan lagi pengajian al-Quran di negara ini,” katanya.

Isu lebih mendesak
Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sementara itu, Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata lebih baik Putrajaya memberi tumpuan dan memfokuskan kepada isu lebih mendesak ketika ini.

“Dalam tempoh setahun atau 2 tahun ini, kita rasa Covid-19 akan berterusan. Kita harus mempunyai persiapan yang jelas terhadap kebarangkalian pandemik baru yang mungkin timbul kelak. Utamakan perkara yang lebih utama,” katanya.

Penerima anugerah tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1441H/2019 itu berkata, masanya tidak sesuai bagi Putrajaya memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk projek berskala besar ketika ini.

“Untuk melancarkan projek yang nampak tidak ada kaitan dengan masalah semasa dan isu besar, saya kira ia tidak memenuhi kriteria. Kita sambut baik projek ini namun masanya tidak sesuai. Kita perlu belajar daripada kejutan Covid-19 di negara kita dan harus peruntukkan sumber kewangan yang cukup,” katanya.

Terdahulu, ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, lebih baik Putrajaya memfokuskan peruntukan untuk pembangunan hospital sedia ada dan memberikan perhatian kepada isu pekerjaan rakyat serta baik pulih sekolah di luar bandar.

“Ini waktu pandemik, apa guna jika ada bangunan besar tetapi rakyat sakit dan lapar,” kata Syed Saddiq di Twitter.

Annuar bagaimanapun ketika dihubungi FMT secara ringkas memaklumkan kenyataan Syed Saddiq itu pendek akal kerana menurutnya, sebahagian projek berkenaan menggunakan konsep wakaf.

“Apakah kalau buat masjid maka tidak boleh buat hospital,” kata Annuar.

Kemudian, Annuar di lama sosialnya menjelaskan perkampungan al-Quran di Putrajaya akan diurus bersama pembangunannya oleh Perbadanan Putrajaya dan Yayasan Restu.

“Pembiayaannya turut dibiayai melalui dana wakaf dan swasta. Ia merupakan sambungan kepada Kompleks Nasyrul Quran sedia ada, mungkin ramai yang belum lawati pusat ini. Ada yang bangga bila buat lapangan terbang walau sudah ada lapangan terbang berdekatan.

“Bangga buat terowong bawah laut, walau ada 2 jambatan merentasi laut, bangga hendak buat menara walau dah bersepah menara di Kuala Lumpur. Tetapi bila hendak buat masjid, pusat al-Quran, mereka mula negatif,” katanya.

Dalam gambar dimuat naik Annuar berhubung perkampungan al-Quran itu menyatakan, ia akan mempunyai sebuah masjid yang boleh memuatkan 5,000 jemaah dalam 1 waktu solat, selain pusat perniagaan melibatkan produk tempatan.

Pusat sains Quran dan sirah, pusat seni mushaf dan ruang dilengkapi dewan bankuet, auditorium, bilik seminar, bilik penginapan perpustakaan dan lain-lain fasiliti berkaitan akan turut dibina dalam perkampungan itu.

Julai lalu Annuar dilapor berkata, masjid baharu itu akan dibina di Presint 14, sebagai antara langkah memperluaskan lagi identiti bandar pentadbiran negara yang sinonim dengan seni bina serta “roh” Islam dan lokasi pusat percetakan al-Quran ke-2 terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/uncategorized/2020/10/31/tangguh-dulu-perkampungan-al-quran-fokus-bantu-rakyat-kata-agamawan/