Peguam dedah OKT kes ganja lapor polis, isteri ada hubungan sulit dengan pegawai penyiasat

Peguam dedah OKT kes ganja lapor polis, isteri ada hubungan sulit dengan pegawai penyiasat. Pada Jumaat, SUMBERKINI membuat liputan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kes yang membabitkan dua lelaki yang dituduh memiliki dadah jenis ganja.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Apa yang menjadi perhatian dalam kes tersebut adalah bekas isteri Orang Kena Tuduh (OKT) berkahwin dengan pegawai penyiasat yang terlibat dalam siasatan kes berkenaan.

Malahan, perkahwinan itu berlangsung dalam tempoh kes perbicaraan masih berjalan.

Peguam bela bagi pihak OKT, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar menyatakan kes tersebut mempunyai unsur penganiayaan terhadap dua orang anak guamnya berikutan dipercayai wujudnya hubungan sulit antara bekas isteri OKT 2 dan pegawai penyiasat terbabit.

Peguam dedah OKT kes ganja lapor polis, isteri ada hubungan sulit dengan pegawai penyiasat

Zaharil turut menjelaskan kedua-dua anak guamnya yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan oleh sepasukan polis dalam satu serbuan pada 23 April 2020 ketika Malaysia berdepan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Serbuan itu dilakukan di sekitar Taman Sri Rampai dan polis menemui dadah berupa ganja seberat 500 gram dalam kenderaan OKT 1 dan lebih lima kilogram dalam kenderaan yang dipandu oleh OKT 2.

Menurutnya lagi, OKT 2 memandu kenderaan milik bekas isterinya dan ketika itu mereka masih sah sebagai suami isteri.

Zaharil turut memberitahu SUMBERKINI bahawa dua hari sebelum tangkapan dibuat, OKT2 hadir ke Balai Polis Bukit Aman untuk membuat laporan polis kerana dipercayai isterinya (pada ketika itu) diganggu oleh pegawai penyiasat yang bertugas di balai polis sekitar Kuala Lumpur.

Namun, pihak Bukit Aman meminta OKT 2 mengemukakan bukti sebelum membuat laporan.

Atas nasihat pihak peguam bela, SUMBERKINI tidak mendedahkan nama pegawai penyiasat yang terlibat.

Tambah Zaharil, ketika OKT 2 dalam tahanan reman di penjara Sungai Buloh, isterinya memohon fasakh dengan alasan OKT 2 tidak memberi nafkah lebih dari tiga bulan.

Penceraian OKT 2 dan isteri sah pada Julai 2020.

Pasukan peguam bela memaklumkan SUMBERKINI bahawa pegawai penyiasat tersebut mengahwini bekas isteri OKT 2 pada Mac 2021 iaitu ketika proses perbicaraan masih berjalan.

Menurut Zaharil, kedua-dua anak guamnya itu tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing OKT 1 serta OKT 2 adalah negatif.

Justeru, pasukan peguam bela dalam sesi penggulungan pada Jumaat, memohon agar pihak mahkamah menggugurkan segala tuduhan terhadap OKT 1 dan OKT 2.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh keputusan kes pada 26 Julai 2022.

Menurut peguam bela, jika individu yang memikat seorang wanita yang merupakan isteri orang, boleh disabit hukuman di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BACA:

Netizen kecam lelaki ni hadiahkan kondom kepada pengantin, ‘lawak tak kena tempat’

Selangor diramal hujan lebat, angin kencang petang ini

Ira Kazar sengaja ‘menyibuk’ masuk live Puteri Sarah, ramai yang terkejut