Menundukkan pandangan dan menjaga mata adalah syariat yang ditetapkan dalam agama untuk memastikan seseorang dapat menjaga pandangan dari melihat maksiat atau perkara yang tidak baik.
Dalam kalangan generasi masa kini, istilah ‘cuci mata’ digunakan untuk merujuk kepada satu cara santai untuk menghiburkan diri atau menenangkan fikiran dengan melihat sesuatu yang disukai atau memandang yang indah.
Namun, terdapat reaksi yang berbeza dari sekumpulan lelaki, yang dipercayai pelajar, yang ‘menundukkan’ pandangan mereka daripada melihat persembahan tarian oleh rakan perempuan.
Melalui video yang menjadi viral di TikTok, kebanyakan pelajar lelaki yang sedang duduk bersila hanya memandang lantai atau melihat ke kiri dan kanan ketika persembahan tarian berlangsung.
Ada juga yang mengambil peluang untuk tidur-tidur ayam dan bersembang bersama rakan.
Reaksi ini menunjukkan seolah-olah mereka tidak berminat untuk menonton persembahan hiburan yang menarik dari kumpulan pelajar perempuan tersebut.
Dalam komen video tersebut, banyak warga maya memuji tingkah laku pelajar lelaki tersebut kerana tidak menonton persembahan tarian meskipun ia diadakan di sekolah.
Namun, terdapat juga segelintir netizen yang berpendapat tingkah laku pelajar lelaki tersebut mungkin disebabkan rasa mengantuk dan usaha mengelak daripada terkena sinaran matahari, dengan mengaitkannya kepada kehadiran cahaya terang yang menyuluh pada mereka.
Walaupun video asal yang dikongsi di TikTok telah dipadamkan, ia masih berkembang luas di platform media sosial lain.
Hingga kini, maklumat lanjut mengenai video, seperti lokasi sekolah dan acara yang diadakan, tidak dapat dipastikan.
Baca Juga : ‘Dia tahu kalau saya pergi masjid dia tak datang dekat’ anjing bijak yang terlalu manja