Seperti ibu bapa yang mendidik dengan penuh kesabaran di rumah, begitu juga guru yang menyampaikan ilmu tanpa henti kepada anak murid di sekolah.
Memang benar itulah tugas seorang guru, namun siapa yang tahu kepayahan yang mereka hadapi demi melahirkan generasi berilmu dan berguna.
Jasa dan pengorbanan guru tidak sepatutnya dilupakan, malah harus dikenang sepanjang hayat kerana tanpa mereka, kita bukanlah kita seperti hari ini.
Dalam sebuah video yang tular di media sosial, satu momen mengharukan telah menyentuh hati ramai apabila sekelompok individu dilihat bertemu dengan seorang lelaki yang dipercayai pesara guru.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di sebuah terminal bas di Indonesia, apabila mereka bertemu dengan bekas guru yang pernah mengajar mereka sedang mengemis untuk menyara kehidupannya.
Menurut video tersebut, lelaki yang dikenali sebagai Cikgu Stefanus itu dahulunya adalah seorang guru yang mengajar subjek Kesenian dan Geografi di sebuah sekolah.
Namun kini, beliau kelihatan lusuh dan jauh lebih tua daripada usianya. Kehidupan yang sukar mungkin telah memaksa beliau mengemis di terminal tersebut.
Pada mulanya, Cikgu Stefanus tidak mengenali bekas murid-muridnya yang datang menghampiri dan menjabat tangannya.
Wajah-wajah yang mungkin suatu ketika dahulu dikenalinya, kini menjadi kabur dalam ingatannya yang semakin dimamah usia.
Namun, setelah diingatkan oleh bekas murid-muridnya tersebut, Cikgu Stefanus akhirnya teringat dan terus memeluk mereka.
Lebih menyentuh hati, apabila salah seorang daripada bekas murid bertanya kepada Cikgu Stefanus tentang alamat rumahnya, Cikgu Stefanus mengaku bahawa dia kini hanya tinggal di rumah sewa.
Dia juga enggan memberitahu alamat sebenar rumah sewanya, mungkin kerana rasa malu atau tidak mahu menyusahkan bekas murid-muridnya itu.
Meski dalam keadaan haru, mereka tetap kelihatan mesra, mengenang kembali saat-saat indah di sekolah.
Cikgu Stefanus, walaupun dalam keadaan yang susah, masih mampu tersenyum dan ketawa bersama bekas murid-muridnya.
Pertemuan singkat itu mengharukan, tetapi memperlihatkan bahawa ikatan antara guru dan murid tidak akan putus, tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Semoga Cikgu Stefanus dan semua guru di luar sana sentiasa dirahmati dan dihargai atas segala pengorbanan dan jasa mereka.
“Terima kasih, Cikgu”