Pelakon utama Rindu Kasih viral, Ummi Nazeera pernah alami kemurungan

Pelakon utama Rindu Kasih viral, Ummi Nazeera pernah alami kemurungan. Kemurungan bukan ‘penyakit mengada-ngada’, ini implikasi buruk jika dibiarkan berterusan

BARU-BARU ini pelakon Ummi Nazeera mendedahkan dirinya pernah mengalami kemurungan sewaktu melanjutkan pengajian di Melbourne, Australia beberapa tahun lalu.

Siapa sangka, artis yang terlihat sentiasa tenang dan ceria pernah melalui detik-detik sukar seperti itu.

Beritahu Ummi, masalah berkenaan terjadi disebabkan tuntutannya sebagai seorang pelajar yang memerlukan pengorbanan berjauhan daripada insan tersayang.

Akibatnya, beliau berdepan dengan kesukaran untuk tidur.

“Disebabkan masalah yang saya hidapi itu, saya jumpa pakar terapi yang disediakan oleh pihak universiti. Pakar menasihatkan saya untuk meluahkan segala perasaan yang saya rasa dalam bentuk penulisan.

“Alhamdulillah, setelah menjalani proses tersebut, ia membuatkan saya rasa begitu tenang. Jadi, menulis sangat membantu, selain daripada melakukan aktiviti senaman,” katanya dalam satu rancangan bual bicara.

Cuplikan rakaman video itu turut dimuat naik dalam laman sosial, TikTok @whitv3_malaysia.

Rata-rata warga maya bersetuju dengan apa yang diperkata dan dilakukan oleh pelakon popular dengan drama Rindu Kasih itu.

Berikut antara luahan-luahan pengguna media sosial, antaranya:

“Saya pun suka sangat menulis apa yang saya rasa sebab dah malas nak letak harapan untuk orang lain faham.”

“Sama macam saya, saya tak suka bercerita pada orang tetapi saya akan tulis baru rasa puas.”

“Betul, kalau kemurungan terapi terbaik adalah menulis, luahkan apa yang ingin diperkatakan dan awak akan rasa tenang selepas itu.”

“Ya, betul, apabila saya alami kemurungan, saya banyak menulis dan meluahkan segala yang terpendam.”

“Itu yang saya lakukan apabila tidak dapat meluahkan pada orang lain. Saya luah dalam bentuk penulisan sambil menangis.”

TAK BOLEH PANDANG ENTENG

Dalam pada itu, laman web perubatan, Mayo Clinic menjelasikan, kemurungan merupakan satu salah satu gangguan perasaan (mood) yang menyebabkan seseorang berasa sedih dan hilang minat secara berterusan.

Ia akan mempengaruhi perasaan, tingkah laku dan berupaya membawa kepada pelbagai masalah emosi dan fizikal.

Paling merisaukan, kata Mayo Clinic, aktiviti harian seseorang juga boleh ‘rosak’ dan tergendala.

Kadangkala golongan berkenaan turut merasakan kehidupan yang dijalani tidak berbaloi.

Merujuk penulisan American Psychiatric Association yang menegaskan bahawa kemurungan bukan satu perkara yang boleh dibuat main.

Kata sumber itu, seorang daripada 15 orang dewasa boleh berhadapan dengan krisis berkenaan.

Kaum wanita ialah kumpulan yang lebih cenderung untuk menghidapi kemurungan berbanding golongan lelaki.

Berdasarkan satu kajian, satu pertiga daripada kaum Hawa berpotensi menderita depresi dalam kehidupan mereka.

American Psyciatric Association turut berkongsi simptom gangguan kemurungan, berikut inti patinya:

i) Sering berasa sedih atau mengalami gangguan perasaan seperti tertekan.

ii) Hilang minat atau keseronokan terhadap sesuatu aktiviti yang pernah dilakukan sebelum ini.

iii) Perubahan selera makan atau penurunan berat badan.

iv) Mengalami masalah tidur atau terlalu banyak tidur.

v) Cepat hilang tenaga dan sering keletihan.

vi) Meningkatkan aktiviti fizikal tanpa tujuan seperti tidak boleh duduk diam, sering mundar-mandir, kerap menggerakkan tangan atau pertuturan menjadi perlahan.

vii) Merasakan diri seperti tidak berharga atau sering rasa bersalah.

viii) Sukar untuk berfikir, menumpukan perhatian atau membuat keputusan.

ix) Berfikir ke arah kematian dan memiliki perasaan untuk bunuh diri.

Lihat, kemurungan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh kerana ia ada kaitan dengan nyawa.

Nasihat kami, sekiranya kalian ada kenalan yang menunjukkan gejala tersebut, segera bantu mereka untuk dapatkan rawatan lanjut.

Jangan ketawakan mereka atau anggap mereka mengada-ngada.

BACA JUGA:

Tawaran sempena cuti sekolah dan perayaan, lebih murah dengan Air Asia RM25 Jingle Sales

Simpang Pulai gempar dengan penemuan 33 tong bahan kimia yang berasid sangat tinggi, apa kata JAS

Saran Waytha, Mitra atau Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia diletak di bawah Perdana Menteri, bebaskan tiga institusi yang diseleweng sebelum ini

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Pelakon utama Rindu Kasih viral, Ummi Nazeera pernah alami kemurungan […]