Pemain Selangor bakal ke kelab Jepun

Bintang muda pasukan Selangor, Muhammad Abu Khalil dilaporkan bakal menyertai salah satu kelab yang beraksi di divisyen tiga liga bola sepak Jepun dalam masa terdekat.

Menurut perkongsian One Football di laman X, Muhammad bakal menyertai Osaka FC selepas seminggu pemain itu menjalani sesi latihan bersama kelab berkenaan.

Menurut laman tersebut, pihak kelab berpuas hati dengan prestasi dan kualiti yang ditunjukkan oleh pemain berusia 19 tahun itu sepanjang sesi latihan dan memutuskan untuk memberikan kontrak selama enam bulan.

Pemain Selangor bakal ke kelab Jepun

Pemain skuad B-23 tahun negara itu masih mempunyai kontrak bersama Selangor dan berkemungkinan besar kelab itu akan meminta pampasan ataupun yuran perpindahan dari Osaka kerana mereka yang membangunkan bakat Abu Khalil.

Muhammad diberikan peluang untuk berada dalam skuad utama Selangor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini selepas kelab itu dibimbing oleh Nidzam Jamil.

Musim lalu, beliau menyinar bersama skuad muda Selangor dalam saingan Piala MFL dan oleh itu Nidzam memberikan peluang kepada pemain itu untuk membarisi skuad utama.

Persaingan sengit di bahagian tengah membuatkan Muhammad jarang diturunkan dalam kesebelasan utama dimana ada beberapa pemain yang sering diturunkan dalam posisi tersebut.

Selangor kini mempunyai pemain tengah seperti Noor Al-Rawabdeh, Nooa Laine, Alex Agyarkwa, Yohandry Orozco serta Alif Haiqal Lau.

Sekiranya Muhammad menandatangani kontrak bersama Osaka, maka ini merupakan peluang keemasan bagi pemain itu untuk mencipta nama di saingan liga luar negara selain meraih pengalaman dengan beraksi bersama pemain terbaik di Jepun.

Baca : Abang Nigeria sedih dah nak balik kampung, dah lah pandai cakap Kelantan