Pemandu e-hailing mati dibunuh, polis syak kerana cemburu

Pemandu e-hailing mati dibunuh, polis syak kerana cemburu. Kes pembunuhan seorang lelaki di Tawau dikaitkan dengan penahanan lapan pegawai dan anggota Pasukan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dipercayai bermotifkan cemburu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, berkata setakat ini, polis sudah menahan lapan anggota dan pegawai polis serta tiga orang awam.

Katanya, orang awam yang ditahan adalah untuk membantu siasatan bagi mengumpulkan bahan bukti sebelum tindakan selanjutnya.

“Sementara seorang wanita iaitu orang awam sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

“Berdasarkan bukti dan keterangan yang ada selepas ini, kita akan rujuk semula kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Idris berkata, kes berkenaan lebih bersifat peribadi iaitu cemburu dan penama yang dituduh, semalam, juga adalah isteri kepada si mati.

“Kes berkenaan lebih bersifat peribadi dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian 13 Januari lalu, seorang pemandu e-hailing ditemui mati di sebuah ladang sawit, berhampiran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), di Batu 5, Tawau.

Susulan penemuan itu, polis mendedahkan penahanan beberapa individu termasuk lapan pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nurman Bakaratu, berusia 61 tahun.

BACA JUGA:

Utamakan Pendidikan Islam Sejak Kanak-kanak Lagi..

SUKAN: Skuad remaja hoki berjaya memenangi lima perlawanan persahabatan di Perth

SABAH: Mangsa banjir Sabah meningkat