TULAR di laman X rakaman papan pemuka menunjukkan seorang pemandu e-hailing nyaris ditipu penumpang wanita yang menggunakan servisnya.
Menerusi video tersebut, kedengaran perbualan daripada wanita terbabit yang cuba bermuslihat dan berdalih daripada membayar tambang.
Kejadian dipercayai berlaku di sekitar Bandar Utama, Selangor pada Jumaat (22 Mac) lalu.
“Jumlah tambang RM11 ke? Kejap ya saya bayar ikut aplikasi Touch n’ Go eWallet.
“Alamak Touch n’ Go saya ada RM4.70 je. Kalau saya bayar jumlah ini boleh ke?,” ujar wanita terbabit sambil menunjukkan skrin telefon pintarnya kepada pemandu teksi itu sebagai bukti.
Walaupun begitu, pemandu teksi berkenaan yang cekap membaca situasi dilihat tidak mudah terpedaya dan segera mengambil tindakan sewajarnya.
“Okay, balai polis depan sana, kita pergi, saya bawa kamu. Ini bukan kali pertama kamu buat macam ni.
“Kamu sudah terkenal dalam komuniti kami (pemandu e-hailing), sudah famous di sini. Dekat Facebook pun gambar awak merata orang dah letak amaran. Masih lagi berani awak nak buat perangai macam ni ya?
Ini macam baru bagus. Jangan tipu-tipu lagi ya.
“Mungkin awak tak ingat, tapi dulu sebelum awak berpindah ke sini pun saya dah banyak kali bawa awak dekat tempat lama.
“Kenapa suka tipu orang macam ni? Sangat tak bagus,” ujar pemandu itu tatkala kenderaannya diparkir di hadapan balai polis.
Wanita terbabit yang menyedari helahnya tidak menjadi langsung bersetuju untuk membayar secara penuh tambang teksi yang dinaikinya.
Penumpang teksi wanita yang menjadi tumpuan di media sosial.
“Baik, saya telefon kawan saya untuk transfer duit. Awak tolong parkir tepi kejap. Saya bayar ikut kod QR ya, RM11 kan?
“Alright saya dah hantar, selesai,” ujar wanita itu kelihatan gugup.
Setelah berpuas hati dengan bayaran yang diterima, pemandu teksi itu meneruskan perjalanan untuk menghantar wanita terbabit ke destinasi yang diminta.
“Ini macam baru bagus. Jangan tipu-tipu lagi ya. Silap orang kamu hendak main (tipu). Kamu sudah empat kali naik teksi saya sebelum ni.
“Apabila sampai balai baru terkulat-kulat nak bayar penuh,” kata pemandu teksi itu.
Berdasarkan ruangan komen, rata-rata netizen mengaku mengenali wanita terbabit yang didakwa sudah terkenal dengan helah untuk tidak membayar tambang e-hailing.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran dakwaan berkenaan.
Baca juga: Tragedi di hari bahagia, habis muka semua cacat gara-gara kosmetik ke