SEORANG pemandu teksi di Bangkok, Thailand memulangkan semula beg tangan penumpangnya yang mengandungi wang tunai sebanyak 3,310 dolar Amerika Syarikat (AS) (RM15,616) bersama dua pasport.
Menurut portal Thaiger, barang tersebut ditemukan oleh Songchai Chaiiam, 51 yang membawa penumpang warga Myanmar dalam kejadian pada 7 Mac lalu.
Susulan insiden tersebut, Songchai menyerahkan barang peribadi berkenaan kepada pihak pengurusan stesen radio FM91 Trafficpro yang beroperasi sebagai bahagian komunikasi polis Bangkok.
Jelas Songchai, dia segera mengambil tindakan sedemikian kerana bimbang sekiranya pemilik tidak mempunyai wang yang cukup untuk terus berada di Thailand.
Pemilik beg tangan itu, Khin Aye Khaing meluahkan rasa lega selepas menemukan barangnya yang hilang kerana wang tersebut perlu digunakan untuk rawatan perubatan.
Songchai berjumpa secara berdepan ketika menyerahkan wang tersebut kepada Khaing di stesen radio FM91 Trafficpro.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklumat dikeluarkan oleh Songchai sekiranya dia menerima sebarang ganjaran atas jasa baiknya itu.
Baca juga: Chef Ammar akhirnya mengaku Nasi Arabnya dah tak laku