Pemenang pingat olahraga dunia Quinonez mati ditembak

Pemenang pingat olahraga dunia Quinonez mati ditembak

Pelari pecut Alex Quinonez ditemui mati dengan kesan tembakan di bandar pelabuhan Guayaquil, mendorong kerajaan Ecuador mengisytiharkan darurat seluruh negara dalam usaha menjejaki pembunuhnya.

Menurut polis, Quinonez, 32, dan serang lagi ditemui maut kira-kira jam 5 pagi waktu tempatan pada Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Presiden Ecuador, Guillermo Lasso, semalam mengisytiharkan perintah darurat selama dua bulan di seluruh negara bermula esok dengan pasukan tentera dikerahkan turun ke jalanan bagi menjejaki pembunuhnya.

Pemenang pingat olahraga dunia Quinonez mati ditembak

Pelari pecut Ecuador, Alex Quinonez, memenangi pingat gangsa dalam acara 200 meter Kejohanan Olahraga Sedunia, Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) 2019 di Stadium Khalifa di Doha, Qatar.

“Pembunuhnya akan segera dijejaki dan dikenakan hukuman atas tindakan membunuh rakyat Ecuador.

“Kami akan bertindak dengan keras,” katanya menerusi ciapan Twitter selain Gabenor wilayah Guayas, Pablo Arosemena, berjanji akan turut memburu pembunuh itu.

“Tiada yang akan berehat sehingga Polis Ecuador menangkap pelakunya, kami berdepan perang dalam menentang sindiket dadah yang mahu menundukkan kami,” kata menerusi Twitter dari Guayaquil.

Kementerian Sukan negara itu adalah pihak pertama yang mengesahkan pembunuhan Quinonez di Twitter, sambil menzahirkan penghormatan terhadap ‘pelari pecut terhebat’ negara itu.

Quinonez memegang rekod Ecuador bagi larian pecut 200 meter dengan catatan masa 19.87 saat.

Beliau adalah finalis di Olimpik London 2012, meraih tempat ketujuh dalam perlumbaan yang dimenangi Usain Bolt, iaitu pelari terpantas dunia.

Jawatankuasa Olimpik Ecuador (COE) berkata kematian Quinonez ‘meninggalkan kesedihan mendalam’ dan legasinya akan kekal sepanjang hayat.

Malam tadi, mayat pelari itu dibawa pulang ke kampung halamannya di Esmeraldas sementara acara memperingatinya dilakukan dengan membawa kerandanya ke stadium bola sepak di bandar hari ini, kata Kementerian Sukan.

Pembunuhan Quinonez berlaku ketika keganasan meningkat secara mendadak di Ecuador antara Januari dan Oktober tahun ini, di mana negara itu mencatat hampir 1,900 pembunuhan berbanding kira-kira 1,400 sepanjang 2020, menurut kerajaan.

Atlet itu sedang melakukan persiapan untuk latihan di Amerika Syarikat (AS) dengan tujuan untuk kembali secara rasmi ke trek dan menyertai Kejohanan Olahraga Dunia di Oregon tahun depan.

Rakan Quinonez, yang juga pelumba basikal, Richard Carapaz, yang memenangi emas dalam acara individu di Olimpik Tokyo 2020, meluahkan rasa kehilangan dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Beliau tidak dapat bertanding di Olimpik Tokyo berikutan dihalang Persekutuan Olahraga Antarabangsa disebabkan tidak melaporkan dengan betul kedudukannya untuk ujian anti-dadah di luar pertandingan.

BACA JUGA :
Kekayaan Bill Gates dan Warren Buffet digabungkan masih tak dapat atasi Elon Musk
Ini syarat tidak mahu divaksin tapi nak mohon sijil – KJ
[VIDEO] “Saya malu tengok video saya sendiri” – Ebit