Pemimpin Bersatu dakwa Pas tak bantu PRK Mahkota

Seorang pemimpin Bersatu mendakwa Pas langsung tidak membantu dalam kempen untuk PRK Mahkota yang sedang berlangsung.

Menurut sumber tersebut, pemimpin tempatan itu kesal dengan tindakan Pas yang meminggirkan rakan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRK tersebut.

Ujarnya ketika ditemui, kesungguhan Pas mulai pudar apatah lagi ianya boleh dilihat ketika perarakan calon dalam PRK tersebut Sabtu lalu.

“Semangat gabungan dah tak wujud, Pas seolah-olah membiarkan kami bersendirian untuk berhadapan dengan PRK ini.

“Kami faham terdapat tuntutan Pas terhadap kerusi ini (Mahkota) tapi sekiranya diputuskan untuk kami bertanding janganlah buat sikap macam boikot.

“Memang Pas tak endah kami pun di PRK Mahkota ni itulah perkara yang membuat kami kesal sangat,” ujar sumber berkenaan.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan dengan desas desus PN bakal berpecah, pemimpin tersebut tidak menafikan hal itu boleh terjadi.

“Itulah dilema yang kita hadapi sekarang apabila terdapat pemimpin Pas yang mengambil langkah untuk meninggalkan PN.

“Kita boleh lihat sewaktu dalam Muktamar baru-baru ini, mereka heboh menamakan calon Perdana Menteri untuk PRU atau sekiranya mengambil alih kerajaan sedangkan Tan Sri Muhyiddin masih hidup dan terus berkhidmat.

“Tindakan itu kurang manis kerana ia dilihat tidak menghormati kawan yang sama-sama berjuang dalam politik,” ujarnya lagi.

Baca juga : Amanah juga lancar jentera tumpu PRK Mahkota