Peminat tarik nafas lega, walaupun Nad Zainal akui hampir gila.
SETELAH sebulan bertarung nyawa dan dirawat di hospital akibat pendarahan dalam paru-paru, pelakon Nad Zainal buat pertama kali tampil berkongsi perkembangan terkini dirinya pada siaran langsung di platform TikTok pada Sabtu.
Biarpun masih belum sembuh sepenuhnya, pemilik nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin, kelihatan ceria dan positif dengan apa yang dilalui.
Menerusi siaran langsung tersebut, Nad tidak putus-putus menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya, selain kata-kata sokongan serta semangat yang begitu bermakna buatnya dalam tempoh itu.
“Setelah bertarung nyawa selama sebulan, alhamdulillah Dia memperkenankan doa saya untuk kembali bersama keluarga. Saya bersyukur yang amat sangat kerana tak sangka ramai yang sayang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat malaysia yang banyak mendoakan dan kepada keluarga saya, papa dan mama yang tak pernah berenggang dengan saya.
“Begitu juga kepada mereka yang menyumbang dana untuk saya menerusi segala macam tabung yang dibuat oleh rakan-rakan seperjuangan dan teman rapat saya. Ramai juga yang anjurkan majlis doa selamat, solat hajat dan sebagainya, terima kasih,” ujarnya.
Menurut heroin drama Cina Buta itu lagi, dia tidak tahu dirinya berdepan dengan penyakit yang begitu serius sehingga diberitahu tentang situasi sebenar selepas kembali sedar dan pulang ke rumah.
“Ketika itu saya tak tahu penyakit begitu serius, sebab saya tak sedar. Bila saya dah okey, baru saya tahu rupa-rupanya keadaan saya sangat teruk.
“Patutlah semua orang yang sayangkan saya bersungguh-sungguh risau, malah hospital juga penuh dengan kunjungan daripada rakan-rakan dalam industri.
“Apa-apapun berkat doa dan kata-kata semangat sewaktu saya tak sedar itu, akhirnya saya ada di sini,” katanya.
Wanita 32 tahun itu juga menanam tekad dalam diri untuk lebih menghargai kesihatan dan kehidupannya selepas ini.
“Ini adalah pengalaman yang saya tak dapat lupakan dan satu pengajaran buat saya untuk lebih sayang diri saya, menjaga diri, kesihatan dan hargai semua benda yang ada di sekeliling saya.
“Saya akan lebih menghargai kehidupan saya dan akan selalu buat pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Rehat dua bulan
Kongsi Nad lagi, buat masa ini dia akan berehat dahulu daripada kerjaya seni selama dua bulan untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihan.
Biarpun sudah dibenarkan pulang ke rumah, namun dia masih lagi dalam proses rawatan apatah lagi nafasnya masih lagi pendek dan sering tercungap-cungap apabila bercakap dalam tempoh lama.
“Alhamdulillah keadaan kesihatan saya sekarang agak baik. Cuma saya masih memerlukan rehat.
“Saya nak kembali dalam keadaan sihat dan memberikan yang terbaik kepada mereka yang mendoakan saya selama ini.
“Saya tidak mahu lagi berada di hospital selama sebulan. Ramai yang nasihatkan saya rehat secukup-cukupnya dulu. Saya akur dan tidak mahu lagi terjadi perkara-perkara sebegitu. Allah dah bagi amaran awal,” akuinya.
Dalam pada itu, Nad mengakui tempoh sebulan berada di hospital amat menyeksakan dirinya. Bukan sahaja menanggung kesakitan fizikal, tetapi juga rindu tehadap kedua-dua anaknya, Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom yang kini berusia setahun.
“Saya tertanya-tanya bila dapat balik sehingga ada ketika saya rasa takkan dapat balik dah sebab terlalu lama di hospital. Rindu pada keluarga dan anak-anak saya sampai rasa hampir gila sebab tak dapat jumpa mereka.
“Waktu ibu bapa saya datang nak jemput saya keluar hospital, mereka datang sedikit awal daripada masa sepatutnya. Jadi saya minta izin jururawat untuk keluar tengok kereta mereka. Saya jalan dan buat pertama kalinya saya keluar daripada hospital nampak matahari.
“Saya pergi ke kereta dan nampak anak-anak saya. Saya nampak Som (anak kedua) tunjuk ke arah saya dan pangil mummy. Saya hampir menangis tengok Som senyum menampakkan giginya. Waktu saya masuk hospital dia baru tumbuh gigi, bila saya balik gigi dia dah penuh,” kongsi Nad sebak.
Dalam pada itu, Nad berjanji untuk berkongsi semua pengalamannya berdepan saat genting itu sepanjang berada di hospital pada sesi lain.
Terdahulu pada 22 November lalu, Nad dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Ampang akibat paru-paru berdarah dan perlu ditidurkan untuk memudahkan proses rawatan.
BACA JUGA:
Di mamah jerung harimau, wanita ini meninggalkan mesej terakhir