Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenyataan seorang pengaruh media sosial menerusi petikan video di aplikasi X.
Menurut lelaki itu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pendidikan formal sudah tidak lagi bernilai pada zaman sekarang, dan ilmu fardu ain dinilai lebih penting.
Pada masa yang sama, seorang guru juga memuat naik kenyataan di aplikasi X yang hampir keseluruhan pelajar di kelasnya mendapat markah kosong dalam ujian.
Belum lagi reda isu pempengaruh tersebut, situasi itu menimbulkan kebimbangan khususnya di kalangan ibu bapa dan guru-guru mengenai masa depan anak-anak muda.
Dalam menghadapi kedua-dua situasi ini, walaupun media sosial dapat menjadi platform yang memberi peluang pendapatan sampingan dan mengembangkan bakat anak-anak muda, ia tidak seharusnya mengatasi tujuan asal mereka dihantar ke sekolah.
Walaupun pendidikan formal memberi tumpuan kepada pembelajaran akademik, ia juga membentuk nilai-nilai disiplin, adab, dan kemahiran sosial yang penting untuk kehidupan.
Selain itu, di sekolah juga diperoleh ilmu tambahan seperti pengurusan kewangan dan disiplin yang akan membantu mereka dalam kehidupan dewasa.
Adalah penting untuk memahami bahawa kehadiran di sekolah bukan sekadar tentang pembelajaran akademik, tetapi juga membentuk disiplin dan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk kehidupan.
Kesan negatif tentang sekolah harus dihentikan agar tidak mempengaruhi mental dan sikap anak-anak.
Walaupun menjadi seorang pengaruh media sosial adalah aspirasi yang baik, tetapi penting untuk mereka memahami kepentingan pendidikan formal dalam membentuk asas pengetahuan dan kemahiran yang kukuh.
Pempengaruh media sosial yang berjaya adalah mereka yang tidak hanya berilmu tetapi juga membawa impak positif kepada pengikut mereka, seperti Khairul Aming yang turut menggunakan platform media sosial untuk membantu orang yang memerlukan.