PADAH mencium pipi kanak-kanak perempuan, seorang penganggur berusia 22 tahun dipenjara empat tahun dan satu sebatan atas tindakannya itu, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Zulkhairi Rosli, melakukan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya yang berusia lapan tahun empat bulan (ketika kejadian) di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Hukuman itu dikenakan selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Mahkamah memerintahkan lelaki bujang itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 3 Ogos tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal termasuk mencium pipi mangsa bagi tujuan seksual di kawasan tangga tingkat 11 di PPR pada pukul 3.30 petang, 25 Jun 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Menurut fakta kes, seorang wanita berusia 28 tahun yang juga ibu mangsa mendapati anak perempuannya masuk ke dalam rumah dalam keadaan tergesa-gesa dan ketakutan.
Sebagaimana diceritakan mangsa, dia memberitahu seorang lelaki memanggilnya ke arah tangga, kemudian terus mencium pipi dan merabanya.
Terkejut dan takut dengan apa yang dilakukan tertuduh, mangsa terus menolak lelaki itu serta berjaya melarikan diri.
Selepas mendengar aduan daripada si anak, ibu mangsa membuat laporan polis dan lelaki itu ditahan di hadapan sebuah surau pada 3 Ogos tahun lalu.
Dalam prosiding pada Khamis, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman penjara dan sebat sebagai pengajaran dengan mengambil kira mangsa berusia lapan tahun manakala lelaki itu merayu dikenakan hukuman ringan.