Pemuda UMNO Bahagian Seremban meminta MCA memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, MCA sudah bertanding di kerusi berkenaan selama tiga penggal, bagaimanapun tidak pernah sekali pun menang.
“Kini sudah tiba masanya MCA memberi laluan kepada UMNO atau Pas untuk bertanding di Parlimen Seremban pada PRU15 ini.
“Ini bukan rasis, sebaliknya kita mencari strategi untuk menang pada PRU15 dengan memberi peluang kepada parti komponen lain pula bertanding di kerusi itu,” katanya.
Menurutnya, daripada 110,000 pengundi di Parlimen Seremban, seramai 53,000 orang merupakan pengundi Melayu dan selebihnya Cina dan India.
“Jadi kami berpendapat biarlah PRU15 beri peluang kepada UMNO pula bertanding demi mencapai kemenangan bersama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Zool Amali berkata, perubahan perlu dilakukan demi kemenangan bersama yang akan memberi kejayaan kepada Barisan Nasional (BN).
Katanya, usul cadangan tersebut dimaklumkan kepada pucuk pimpinan negeri untuk dipertimbangkan dan akan dibawa ke pucuk pimpinan pusat dalam masa terdekat ini.
“Kita hanya minta kerusi Parlimen Seremban, manakala MCA terus kekal untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti kaum Cina.
“Ini adalah perjuangan adik-beradik, bukan individu. Kalau kita mahu mencipta kemenangan yang lebih pada PRU15, MCA perlu berlapang dada dengan kehendak akar umbi di Parlimen Seremban yang mahukan calon daripada UMNO,” katanya.
Menurutnya, contoh kejayaan pemberian kerusi terbukti ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada tahun lalu apabila MIC memberi laluan kepada calon UMNO bertanding di situ yang akhirnya membawa kejayaan.
Pada PRU14, DAP menang kerusi Parlimen Seremban apabila calonnya, Anthony Loke Siew Fook menang dengan majoriti 30,694 undi.
Anthony memperolehi 55,503 undi menewaskan calon BN dari MCA, Datuk Chong Sin Woon dengan undian sebanyak 24,809 undi, manakala Pas menerima 11,506 undi.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/92653/BERITA/Politik/MCA-perlu-beri-ruang-kepada-UMNO-bertanding-di-Seremban