Pencerobohan Lahad Datu, waris Kesultanan Sulu dedah kisah tuntutan ke atas Sabah

Pencerobohan Lahad Datu, waris Kesultanan Sulu dedah kisah tuntutan ke atas Sabah.

Ada kalangan individu yang terlibat dalam pertikaian dan tuntutan Sulu didakwa memainkan peranan dalam peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, 10 tahun lalu.

Perkara itu didedahkan Datu Omar Ali Datu Bachtiyal, yang mendakwa waris Kesultanan Sulu yang sah.

Datu Omar Ali, 64, mendakwa sebelum tragedi Tanduo, beliau didatangi individu mengaku Sultan Sulu, sekitar 2008 dan 2009 untuk mengajaknya berjuang menuntut Sabah daripada Malaysia, namun menolak sekeras-kerasnya rancangan itu.

Tanpa menamakan siapa dalam kumpulan membuat tuntutan itu bersama individu yang merancang pencerobohan berkenaan, beliau mengakui terkejut setelah mengetahui rancangan itu diteruskan beberapa tahun kemudian.

“Kita tahu kemudian daripada surat khabar (rancangan itu diteruskan). Saya sendiri pernah diajak untuk sertai (pencerobohan) Tanduo, tetapi menolak,” katanya.

Tragedi itu berlaku pada Februari 2013 apabila sekumpulan 100 pengganas Sulu dari selatan Filipina, mendarat di pantai Kampung Tanduo sehingga mencetuskan pertempuran berdarah.

Seramai 10 anggota pasukan keselamatan terkorban, manakala sekurang-kurangnya 68 pengganas Sulu berjaya ditembak mati dalam insiden itu.

Setelah tragedi hitam itu berakhir, Tanduo dijadikan kem tentera pada 15 Mac 2013 di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), atas usaha kerajaan memantau anasir jahat, khususnya memastikan insiden Tanduo tidak berulang.

Datu Omar Ali mendakwa beliau waris daripada salasilah Dayang Dayang Piandao, seorang puteri dan antara pentadbir Kesultanan Sulu pada 1936.

Dayang Dayang Piandao yang berkahwin dengan Datu Ombra Amilbangsa menaiki takhta dan menjadi Sultanah pada 1937 sehingga mangkat pada 1945.

Dalam pada itu, anak bongsu Datu Omar Ali, Datuk Datu Mohd Fadli Fathullah, 36, mendakwa beliau sendiri pernah berhubung dengan individu berkenaan untuk meminta rancangan menceroboh Sabah itu dihentikan, namun tidak diendahkan.

“Dia cakap dengan saya, kau jangan masuk campur, kalau kau mahu ikut, ikut, kalau tidak mahu ikut, jangan masuk campur. Dia cakap begitu, selepas itu dia matikan telefon dan itu kali terakhir saya berhubung dengan dia.

“Saya tidak mahu ini (tragedi Tanduo) berlaku, tetapi itulah berlaku juga,” katanya yang mendakwa perbualan itu berlaku pada 2009.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Pada 28 Februari 2022, penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa dilapor telah memberikan ‘final award’ kepada pihak yang menuntut sebanyak AS$14.92 bilion.

Bagaimanapun, Mahkamah Perancis telah menangguhkan penguatkuasaan ‘final award’ yang diberikan Stampa di Perancis sementara menunggu keputusan kehakiman tindakan Malaysia untuk mengetepikannya.

Tindakan Malaysia itu atas dasar bahawa penguatkuasaan berkenaan mungkin mengancam kedaulatan Malaysia ke atas wilayah Sabah.

BACA JUGA:

Nak main lato-lato kena berhati-hati! Ni doktor pesan beberapa tip keselamatan, elak cedera

Nak makan kerabu maggi ala Thailand? Hahh, ni resipi kerabu maggi yang boleh kita cuba dan buat sendiri

Nak bersedekah? Sedekah dengan adik-beradik yang susah adalah yang paling afdal, paling tinggi kedudukan