Pendakwaan ke atas bekas Pengerusi FELDA tidak diteruskan, mahkamah beri kebebasan

Pendakwaan ke atas bekas Pengerusi FELDA tidak diteruskan, mahkamah beri kebebasan. Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Beliau memberitahu, Timbalan Pendakwa Raya kes tersebut mengesahkan bahawa pendakwaan ke atas Shahrir tidak diteruskan dalam masa terdekat.

“Dalam keadaan sedemikian adalah wajar tertuduh dilepaskan dan dibebaskan.

“Mahkamah mengguna pakai Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah selain terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dirujuk oleh pihak pembelaan.

“Saya perintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan.

“Tarikh perbicaraan pada 27 dan 28 Feb ini dilapangkan dan wang jaminan dikembalikan serta pasport diserahkan semula kepada tertuduh,” kata Hakim Muhammad Jamil.

Pada 21 Januari 2020, Shahrir, 74, didakwa terlibat dengan pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA:

Laluan utama Kota Kinabalu – Sandakan terputus, ratusan kereta terkandas

Jenayah penuh tragis di Tahun Baru, kaum wanita wajar ambil iktibar pertingkat kewaspadaan dan keselamatan diri

Annuar mahu saman Adrian, Pragalath dan Razlan, berkait isu Menara KL

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Pendakwaan ke atas bekas Pengerusi FELDA tidak diteruskan, mahkamah beri kebebasan […]