Sepasangan pengantin di China mencuri tumpuan apabila kos perkahwinan mereka yang mencecah 210 juta Yuan (RM140 juta) menjadi tular di media sosial.
Menurut SCMP, berita tersebut mendapat perhatian warga maya dan menjadi perdebatan besar dalam kalangan masyarakat tempatan.
Portal itu berkata, perkahwinan melibatkan ahli keluarga Ye itu berlangsung di Putian, wilayah Fujian, tenggara China pada awal Februari lalu.
Difahamkan, majlis perkahwinan serba mewah itu berlangsung di dewan tarian rumah keluarga pengantin lelaki.
Menurut SCMP, kediaman mewah itu telah dihiasi dengan pelbagai hiasan seperti sepasang naga kayu yang digantung di siling rumah bersama tanglung merah.
Malah, sebuah jambatan kecil dan astaka tradisional China turut dibina di kediaman tersebut.
Keluarga itu turut mengeringkan kolam ikan besar mereka sejak setahun lalu agar ruang itu dapat digunakan sebagai lokasi untuk mendirikan pentas besar.
Sementara itu, gambar pengantin perempuan yang memakai rantai emas besar turut beredar di media sosial.
Rantai emas berkenaan dipercayai turut dihiasi kira-kira 100 gelang emas yang tebal.
Berat perhiasan itu turut dikatakan menjadi punca pengatin perempuan berdiri dalam keadaan terbongkok sedikit.
Dalam pada itu, tuan rumah turut dilapor menggajikan 50 pembantu yang mengenakan pakaian serba mewah untuk majlis berkenaan.
Mana sekumpulan penari turut dibawa bagi melakukan persembahan tarian purba seperti zhi ci qing lu.
Selain itu, tetamu yang hadir di majlis itu turut dihidangkan dengan menu seperti king crab, udang galah, sup sirip yu, sarang burung dan abalon Australia.
Setiap meja juga dihidangkan dengan minuman keras mewah China, Kweichow Moutai yang dikatakan bernilai 1.5 juta yuan (RM1 juta) sebotol.
Seorang tetamu yang berkongsi video majlis berkenaan berkata, dia terasa seolah-olah sedang menghadiri majlis perkahwinan keluarga bangsawan.
“Terasa seperti mengembara ke masa lalu untuk menghadiri perkahwinan keluarga bangsawan yang kaya pada zaman dahulu,” katanya di platform Douyin.
Menurut SCMP lagi, pengantin lelaki dipercayai adalah anak kepada Ye Guochun, pengerusi syarikat barang kemas terkemuka di China, Lao Feng Xiang.
Manakala pengantin perempuan adalah anak kepada salah seorang pengurus cawangan syarikat tersebut.
BACA: ‘Aku tidak redha denga perbuatan mereka yang menganiaya aku dan anak-anak ku Ya Allah’