SUSULAN pembongkaran aktiviti mengemis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghentikan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) terhadap seorang pengemis yang memiliki kereta Proton X70 Premium seperti yang tular baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata beberapa tindakan turut diambil terhadap individu terbabit, termasuk memberikan amaran dan melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan tidak mengemis.
“Berdasarkan siasatan, betul Yang Berhormat menyatakan bahawa individu yang ditularkan itu ada menerima bantuan elaun pekerja OKU sebanyak RM450.
“Ada beberapa tindakan telah diambil seperti memberi amaran, melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan untuk tidak mengemis, dan bantuan diberhentikan sejak Mac 2024.
“Siasatan lanjut juga mendapati bahawa dia kini bekerja di sebuah syarikat bas sebagai penyelia syif, dengan anggaran pendapatan RM2,000,” katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai tindakan kementerian membendung isu OKU yang menerima Elaun Pekerja OKU dengan mengambil contoh kes pengemis yang memiliki kereta jenis Proton X70.
Pada 22 Februari lalu, JKM Maran membongkar keadaan hidup seorang OKU yang mengemis tetapi mampu memiliki kereta Proton X70 Premium.
Siasatan mendapati lelaki OKU yang memiliki kedua-dua tangan yang kecil itu berupaya memperoleh sehingga RM500 kutipan sumbangan orang ramai dalam tempoh lima jam di pasar malam.
Memberitahu Dewan Rakyat, Noraini (BN-Parit Sulong) berkata di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977, tiada hukuman punitif terhadap golongan mengeksploitasi kekurangan diri untuk menjana kemewahan.
Ujarnya lagi, kementerian sedang menyemak semula Akta Orang-Orang Papa 1977 secara komprehensif bagi menambah baik pengendalian isu orang papa dan gelandangan.
“Betul, akta ini tidak ada peruntukan berbentuk punitif kerana asasnya berprinsipkan kebajikan.
“Dalam konteks kebajikan, objektifnya ialah memulihkan seseorang yang berada dalam kesukaran apabila boleh membantu kembali berdikari,” katanya.
Noraini menambah kajian ke atas Akta Orang-Orang Papa 1977 dilaksanakan selama 21 bulan dan dijangka siap pertengahan tahun ini, dengan dapatan akhir akan dibentang kepada kementerian.
Baca juga: “Ni asrama sekolah ke tempat penagih?”, bapa terkejut tengok keadaan katil, tilam dah lunyai!