Pengganti Kim Pan Gon adalah… – FAM

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi memaklumkan badan induk itu belum memikirkan usaha mencari pengganti Kim Pan-gon.

Bekas pengendali Harimau Malaya itu mengumumkan perletakan jawatannya dalam satu sidang media khas yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 16 Julai lalu.

Keputusan yang dibuat beliau mengejutkan ramai penggiat bola sepak negara khususnya barisan pemain kebangsaan. Susulan itu, pembantu jurulatih Pan-gon dari Sepanyol, Pau Marti Vicente dilantik sebagai pemangku jurulatih Harimau Malaya.

Yusoff memaklumkan FAM belum memikirkan lagi usaha mencari pengganti Pan-gon. Ini kerana keutamaan badan induk bola sepak itu ialah menyokong Pau Marti membentuk skuad mantap untuk Pestabola Merdeka 2024 dan ASEAN Championship 2024.

FAM percaya kehadiran bekas jurulatih Barcelona B itu bukan saja mengekalkan kestabilan pasukan. Malah, Yusoff percaya Pau Marti mampu meneruskan tugas cemerlang yang dtinggalkan Pan-gon.

“Buat masa ini, kita tak fikir ke arah itu. Pada masa ini, kita fikir Pau Marti akan meneruskan tugas-tugas yang ditinggalkan Coach Kim Pan-gon. Dan pertandingan kita pun hampir. Kita ada Pestabola Merdeka, kita ada AFF Tournament (ASEAN Championship) hujung tahun ini.

“Jadi, saya fikir soal jurulatih baru tak timbul ketika ini. Kita lebih memikirkan cara nak menjaga kestabilan pasukan. Kita fikir Pau Marti mampu meneruskan tugas-tugas yang ditinggalkan Coach Kim Pan-gon,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Pau Marti bakal dibantu staf-staf kejurulatihan sedia ada termasuk penolong jurulatih, E. Elavarasan. Fokus beliau selepas ini ialah Pestabola Merdeka 2024 yang bakal berlangsung pada September ini.

Baca: BN umum calon PRK Nenggiri