Peniaga dakwa harga barang mentah masih mahal macam dulu

Peniaga dakwa harga barang mentah masih mahal macam dulu.

Golongan peniaga mendakwa harga bahan mentah tidak turun malah kebanyakannya masih sama seperti sebelum ini, sekali gus menyukarkan mereka menurunkan harga jualan makanan seperti disarankan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Kumpulan peniaga gerai makanan dan restoran yang ditemui turut tidak bersetuju dengan teguran Rafizi yang mendakwa sesetengah mereka sengaja enggan menurunkan harga makanan dan minuman.

Menurut pemilik restoran Kak Som Tomyam Kg Bharu, Linda Sabri, dia tidak melihat ada sebarang penurunan harga bahan mentah lagi setakat ini.

“Sekarang ni walau menteri kata harga bahan mentah turun tapi pembekal yang kita ambil tidak menunjukkan sebarang penurunan harga, masih sama.

“Kalau kita sendiri nak turunkan harga jualan makanan tapi kita beli bahan mentah dengan harga pasaran semasa, rugilah kami,” katanya ketika ditemui Astro Awani.

Sementara itu, peniaga air di Ampang, Hyrul Ameer Mydin mempersoalkan kenyataan bahawa harga barang mentah sudah turun.

“Sekarang barang mana ada turun. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu susu satu karton dijual pada harga RM105. Sekarang jadi RM145. Harga Milo untuk dua kilogram dulu RM33 sekarang dah RM39.50 manakala Nescafe dulu RM34 sekarang RM44.

“Macam mana mereka kata macam itu, harga barang apa yang turun?” soalnya

Bagi Yarni M Nasir yang menjual nasi campur selama belasan tahun di Ampang, katanya, tiada bahan mentah yang turun harga, sebaliknya harga ikan semakin mahal.

“Harga barang tak tak turun pun, saya beli harga sama saja dari dulu sampai sekarang. Yang saya tahu ada peningkatan harga ikan, ikan jadi mahal.

“Kadang-kadang memang tak sampai hati nak jual kepada pelanggan. Kalau kita beli ikan sekilogram dah RM20, bila dah masak seekor jadi RM5… mesti nak jual harga lebih untuk ambil sedikit keuntungan.

“Perlu juga kira kos pekerja, harga minyak dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi dilapor menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman mereka, meskipun harga bahan mentah di pasaran telah turun.

Beliau berkata kerjasama daripada peniaga restoran dan kedai makan untuk menyeimbangkan harga jualan mereka dengan bahan mentah amat penting untuk membantu rakyat menambah ruang perbelanjaan dan mengurangkan beban kewangan mereka.

BACA JUGA:

Johor, Sabah amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya

Berjaya turunkan berat badan berlebihan, Regine Wong jadi jurulatih popular di TikTok

Lantik doktor kontrak melalui sistem pemarkahan

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Peniaga dakwa harga barang mentah masih mahal macam dulu […]