Penternak dedah 3 perkara asas atasi masalah ayam, kerajaan perlu bertindak

Penternak dedah 3 perkara asas atasi masalah ayam, kerajaan perlu bertindak. Tiga perkara asas dalam industri penternakan ayam perlu ditangani segera bagi menstabilkan semula bekalan ayam dalam negara.

Penternak yang juga pembekal ayam segar, Mazlina Kamarudin memberi pandangan, isu kekurangan pekerja dalam sektor penternakan yang menggunakan buruh asing perlu diberikan perhatian selain kajian semula harga kawalan serta subsidi yang perlu dipercepatkan.

“Untuk kembalikan bekalan ayam dalam negara, perkara asas perlu ditangani terlebih dahulu.

“Sekiranya permit import (AP) dibuka seluas-luasnya, ia mungkin tidak dapat menampung permintaan kerana kekurangan ayam juga berlaku di negara pengeksport seperti Thailand, ” katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Mazlina yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi) berkata, apa yang penternak mahukan ialah kerajaan mempermudahkan urusan pengambilan buruh asing untuk sektor berkenaan bagi mengatasi kekurangan pekerja ternakan ayam.

Penternak dedah 3 perkara asas atasi masalah ayam, kerajaan perlu bertindak

“Sudah berkali-kali isu ini disuarakan. Ayam kurang di pasaran adalah kerana kami kekurangan pekerja.

“Walaupun kerajaan benarkan membawa masuk pekerja asing pada Februari namun sehingga kini permohonan masih belum diluluskan.

“Ladang saya sendiri terpaksa kurangkan kemasukan ayam kerana isu pekerja.

“Kalau tidak ditangani segera, bekalan ayam semakin kurang kerana ramai pekerja pulang ke negara asal selepas pintu sempadan dibuka, pada masa sama pekerja baru tak boleh masuk,” katanya lagi.

Menurutnya, proses yang dilihat semakin rumit merencatkan operasi ternakan menyebabkan kesukaran mendapatkan tenaga kerja biarpun masalah terbabit telah disuarakan kepada kerajaan.

“Perkara ini tidak wajar dipandang sepi. Ia merupakan rangkaian dalam industri dan penyelesaian jitu kepada masalah berbangkit, sebaliknya ada yang menyalahkan wujudnya kartel,” katanya.

Mazlina berkata, gaji pekerja juga tidak dapat ditawarkan lebih tinggi berikutan harga ayam dikawal dan subsidi yang dijanjikan belum diterima sehingga kini.

“Kita mohon sudah lama, belum dapat. Sebenarnya subsidi tidak dapat menampung kos susulan kejatuhan mata wang yang turut menyebabkan harga dedak naik setiap bulan dan dijangka terus naik sehingga 2023.

“Harap percepatkan subsidi bagi menampung sebahagian kos operasi,” katanya.

Menurutnya lagi, penternak turut mohon agar harga kawalan dinaikkan kepada RM9.90/kilogram atau dihapuskan dengan menjadikan permintaan dan penawaran sebagai penanda aras ketetapan harga ayam.

“Apabila tiada harga kawalan, kemungkinan harga ayam akan pulih. Mungkin pada awalnya harga naik sedikit, namun apabila ramai pengeluar kembali dalam industri, harga akan bergantung kepada permintaan dan penawaran.

“Harga kawalan RM8.90 memang tak balik modal dan tidak menguntungkan, penternak pula berdepan risiko seperti penyakit, ayam mati atau lambat membesar selain kos dedak. Apabila risiko tinggi, untung minimum, ” katanya.

Mazlina turut membangkitkan isu kualiti dedak menurun yang ditawarkan pada harga murah.

Menurutnya, kerajaan wajar merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang agar situasi tidak berulang.

“Untuk jangka pendek, saya sarankan kaji semula harga kawalan, kebenaran segera bawa masuk buruh asing selain percepatkan subsidi.

Mazlina turut menyambut baik hasrat kerajaan yang akan menyiasat kemungkinan wujudnya kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

Menurutnya, Ayam Bismi yang sebelum ini menawarkan 20,000 ekor ayam kini terpaksa mengehadkan kepada 15,000 ekor kepada pelanggan.

“Kapasiti ladang boleh dua juta ekor ayam tetapi pengeluaran sekitar sejuta ekor sebulan. Ketika tiada masalah kekurangan buruh, kami mampu tawarkan satu juta ekor, sekarang hanya 900,000 ekor ayam.

“Kalau saya kurangkan 10 peratus, syarikat lain kurangkan 10 peratus, keseluruhannya bekalan kurang, situasi akan semakin serius dari hari ke hari,” katanya.

*Berita asal di Sinar Harian

BACA:

5 lokasi kolam air panas menarik untuk dikunjungi di Perak

Kereta elektrik keluaran Proton dijangka berada di pasaran 2023

Harga barangan makin naik, rakyat mengadu di media sosial Dafi.. Minta pesan ke ayah