Peraturan jual beli arak untuk kawal jualan sahaja bukan belian

Peraturan jual beli arak untuk kawal jualan sahaja bukan belian

Garis panduan baru Lesen Minuman Keras (LMK) bukan bertujuan untuk menyekat hak pembelian arak beralkohol tinggi (liquor) tetapi sekadar untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebaliknya, Pengerusi Lembaga Eksais DBKL, Lau Beng Wei berkata penjualan dan pembelian liquor masih boleh dilakukan di premis khusus di bawah kategori LMK Rumah Awam Kelas 1 seperti di pub, bar, lounge, dan restoran.

Ia juga boleh dibeli dan dijual di bawah kategori LMK Runcit seperti di pasar raya dan hypermart yang berada di kompleks perdagangan.

“Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) yang baharu adalah bertujuan untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol serta kawalan keselamatan, kesihatan dan kesenangan warga kota di samping menjadikan penjualan liquor berkualiti secara tersusun dari segi lokasi, jenis premis dan masa penjualan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lau, bagi penjualan liquor campuran atau pure yang bertujuan atau dikategorikan untuk ubatan tradisional, yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia juga masih boleh dijual di kedai ubat Cina.

“Walau bagaimanapun sekiranya kedai ubatan Cina ingin menjual jenis liquor yang lain, boleh memohon kebenaran melalui KKM dengan justifikasi jualan dan DBKL tiada halangan sekiranya KKM mengesahkan jenis liquor tersebut.

“Selain daripada itu, LMK sementara boleh dikeluarkan bagi aktiviti promosi/acara yang menghidangkan bir/liquor dan juga di musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, bir di kedai runcit, kedai serbaneka, kedai ubat Cina juga masih dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti masa jualan, ruang penjualan dan had umur pembeli.

Pada 16 November lalu, DBKL memperkenalkan garis panduan baru mengenai lesen minuman keras, di mana antara lain menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/551771

COMMENTS