Perkeso peruntukkan RM3.7 juta untuk perkasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Perkeso peruntukkan RM3.7 juta untuk perkasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta bagi geran bantuan kewangan untuk memperkasa kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso dalam kenyataan berkata, peruntukan itu akan diberikan kepada 38 institusi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan 600 program untuk tahun ini.

“Prihatin akan kesejahteraan golongan di negara ini, Perkeso meneruskan pelbagai inisiatif untuk memperkasa KKP termasuk memperuntukkan geran kewangan kepada institusi dan NGO untuk pelaksanaan program pencegahan kemalangan dan kesedaran KKP.

“Pada tahun ini, Perkeso memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta kepada 38 NGO dan institusi bagi melaksanakan 600 program.

“Program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan ini akan menjadi pemangkin yang memacu pembentukan ‘Budaya Kerja Selamat dan Sihat’ seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25),” katanya.

Menurut kenyataan itu, dengan menyalurkan geran kewangan kepada institusi dan NGO terpilih, Perkeso dapat menggunakan pelbagai kepakaran mereka, yang merangkumi skop dan kumpulan sasaran yang lebih luas.

Ujarnya, aktiviti yang dirancang oleh NGO dan institusi ini meliputi semua dimensi pencegahan dan menepati kumpulan sasar yang ditetapkan Perkeso, berdasarkan statistik kemalangan dan program pencegahan kemalangan yang menjadi fokus agensi itu.

“Data interim Perkeso menunjukkan pada tahun 2022, sejumlah 29,153 kemalangan perjalanan dan berulang-alik ke tempat kerja dilaporkan kepadanya.

“Angka kemalangan jalan raya ini lebih tinggi dari 23,894 kemalangan yang dicatatkan sepanjang tahun 2021.

“Kemalangan perjalanan pada tahun 2022 telah mengorbankan 609 nyawa pekerja, iaitu meningkat dari 525 orang pekerja yang maut akibat nahas jalan raya dalam tahun 2021,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, peruntukan geran kepada institusi dan NGO berkaitan yang dilaksanakan secara tahunan sejak 2001 menerusi Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan serta Jawatankuasa Pencegahan Bencana Kerja Perkeso, merupakan salah satu daripada inisiatif berterusan dilaksanakan untuk memperkasa kesedaran KKP.

“Selain, mengurangkan kadar kemalangan, seterusnya meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja termasuk mereka yang bekerja sendiri.

“Malah pandemik Covid-19 tidak menjadi penghalang kepada Perkeso untuk terus memperuntukkan geran kewangan bagi pelaksanaan program pencegahan dan kesedaran KKP,” ujarnya.

Untuk rekod, pada tahun 2022, Perkeso memperuntukkan geran sebanyak RM3.57 juta kepada 38 penerima dari badan NGO dan institusi untuk pelaksanaan 613 program, berbanding RM3.16 juta kepada 36 penerima untuk pelaksanaan 489 program pada 2021.

Manakala RM4.37 juta kepada 37 penerima untuk 486 program dalam tahun 2020; dan RM4.97 juta kepada 34 penerima untuk 593 program pada 2019.

BACA JUGA:

Pagar tadika dirempuh kereta, dua cedera

Ismail Sabri jelaskan tak digantung UMNO

Dua bekas PM serta tiga lagi diarah failkan pernyataan pembelaan dalam isu Projek HSR