Sekarang ini tidak perlu tunggu tua lagi untuk dapat kanser, teliti pesanan doktor pakar ini

Sekarang ini tidak perlu tunggu tua lagi untuk dapat kanser, teliti pesanan doktor pakar ini. Pakar kesihatan berkata perubahan gaya hidup dan corak pemakanan yang semakin tidak sihat hasil tekologi pemprosesan makanan sebagai antara faktor di sebalik trend meningkat penyakit kanser dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk golongan muda.

Pensyarah kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Zalina Abu Zaid berkata, ia juga dilihat selari dengan peningkatan obesiti di Malaysia.

“Prevalen berat badan berlebihan dan obesiti juga meningkat di Malaysia, di mana satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan yang berlebihan dan obesiti.

“Jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain, Malaysia mempunyai tahap obesiti yang tinggi dengan jumlah hampir 50%,” katanya kepada MalaysiaNow.

Berat badan berlebihan katanya adalah faktor utama mendapat penyakit kronik termasuk kanser.

Selain itu, pertambahan populasi warga emas turut menjadi punca peningkatan statistik.

Katanya, faktor-faktor itu disifatkan sebagai boleh diubah kerana ia bergantung kepada gaya hidup seseorang individu.

Faktor risiko kanser tidak boleh ubah termasuklah jantina, umur dan genetik.

Persatuan Kanser Malaysia (NCSM) baru-baru ini melaporkan 20,000 kes dikesan setiap tahun dan purata usia pesakit ialah lebih daripada 40 tahun.

Bagaimanapun, sejak dua tahun kebelakangan ini, pesakit-pesakit baru dikesan daripada mereka yang berusia lewat 20-an dan awal 30-an.

NCSM juga melaporkan semakin ramai kanak-kanak yang dikesan menghidap kanser.

Pakar kesihatan awam, Zainal Ariffin Omar pula berkata, kes bertambah kerana semakin ramai orang yang membuat saringan kesihatan.

“Punca-punca risiko kanser termasuklah amalan merokok, obesiti, pemakanan yang tidak sihat, pengambilan arak dan penyakit kronik lain,” katanya.

Malaysia mempunyai 4.8 juta perokok daripada 32 juta keseluruhan rakyat, dengan dianggarkan 27,200 kematian direkodkan berkaitan dengan amalan merokok.

Kerajaan di bawah menteri kesihatan baru-baru ini berkata Generasi Penamat (GEG) menerusi Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau Merokok 2022 akan disemak semula.

Zalina berkata, kajian menunjukkan menunjukkan golongan muda banyak menghabiskan masa di hadapan skrin komputer atau telefon berbanding melakukan aktiviti fizikal.

Sebelum ini, firma Ernst & Young Advisory Sdn Bhd mendapati pengguna digital Malaysia menghabiskan masa kira-kira 14 jam sehari di depan peranti digital dengan 87% daripadanya dihabiskan menggunakan internet.

Dari segi pemakanan, Zalina berkata diet yang mengandungi makanan segera dan makanan diproses yang mempunyai kandungan lemak, kanji atau gula adalah punca pertambahan berat badan yang seterusnya meningkatkan risiko kanser.

“Bukti saintifik menunjukkan bahawa beban glisemik (peningkatan glukosa darah dan insulin selepas makan makanan) adalah punca kanser endometrium.

“’Makanan segera’ ialah makanan mudah didapati yang memberi hasil yang padat tenaga dan sering dimakan dengan kerap dan dalam jumlah yang besar,” katanya.

Makanan segera menjalani beberapa bentuk pemprosesan sebelum dimakan melalui pemprosesan industri dan ia mempunyai kandungan tenaga yang tinggi dan mikronutrien yang rendah.

Zalina turut menggesa orang ramai mengurangkan daging merah dan daging diproses yang mana kedua-dua sumber makanan itu mempunyai kandungan kimia bersifat karsinogenik.

“Tubuh kita akan menukar nitrat kepada nitrosamine yang bersifat karsinogenik dan memberi risiko mendapat kanser.

“Oleh itu, saranan pengambilan daging merah adalah kurang 500g seminggu.”

Makanan yang diawet pula mempunyai paras garam yang tinggi.

Ia merangsang jangkitan Helicobacter pylori dalam perut yang seterusnya meningkatkan risiko kanser perut.

Dalam pada itu, Zainal berkata golongan muda disarankan menjadi aktif secara fizikal.

“Banyakkan bergerak dan kurangkan duduk,” katanya.

BACA JUGA:

PBM bergolak lagi, Zuraida berdepan nasib pengkhianatan ciptaan diri sendiri

Jawatankuasa saringan perlu berperanan, GLC perlu struktur jelas dari peringkat atas

Ratatouille animasi membawa baik, tapi tidak di dunia realiti sebuah premis di Pandan

COMMENTS

Wordpress (0)