Peruntukan MP diberi sama rata, beri hak dan pembelaan tanpa ada kawasan yang tercicir.
Kerajaan Perpaduan dicadang melakukan reformasi dengan menggubal satu undang-undang supaya peruntukan kepada ahli Parlimen daripada kerajaan atau pembangkang dapat diberikan secara sama rata dan adil.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, reformasi itu penting bagi membolehkan semua 222 Parlimen mendapat hak dan pembelaan tanpa ada satu kawasan pun yang tercicir.
Beliau yang juga merupakan seorang peguam berkata, pengundi yang tidak memilih parti-parti mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu tidak seharusnya ‘dihukum’ atau diabaikan.
“Pertamanya kita tidak boleh menzalimi rakyat yang telah undi seseorang ahli Parlimen itu. Rakyat undi seseorang ahli Parlimen dan selepas menang tidak dapat peruntukan, ini zalim namanya dan kita tidak boleh nafikan hak rakyat.
“Peruntukan kerajaan untuk ahli Parlimen ada dua kategori. Tidak sampai satu perlima untuk pengurusan pejabat Parlimen dan selebihnya untuk rakyat. Kawasan Parlimen dapat peruntukan lebih RM300 juta setahun, dana ini untuk rakyat dan bukan untuk ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Pentas Utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini pada Rabu, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Mohd Sohaimi Ishak.
Pada Ahad, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa keputusan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang sebagai tidak adil.
Bekas Menteri Besar Perlis itu mendakwa semua ahli Parlimen kerajaan sudah mendapat peruntukan tetapi hingga ke hari ini, tiada peruntukan diterima pembangkang terutamanya negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
BACA JUGA:
Annuar mahu saman Adrian, Pragalath dan Razlan, berkait isu Menara KL
Kanak-kanak lelaki terjatuh dalam cerucuk konkrit disahkan meninggal dunia