Peter Anthony menegaskan Hajiji perlu patuhi Perlembagaan Sabah

Peter Anthony menegaskan Hajiji perlu patuhi Perlembagaan Sabah. Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony, menegaskan parti itu tetap berpendirian bahawa Datuk Seri Hajiji Noor didakwa kini tidak mempunyai kelayakan dari segi Perlembagaan untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab KDM melalui tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu untuk mempertahan dan menegakkan ketetapan dalam Perlembagaan.

“Kita kekal dengan pendirian yang dimaklumkan dalam kenyataan, baru-baru ini, bahawa Perlembagaan Sabah perlu dipatuhi. Sebagai ADUN yang merupakan penggubal dasar pada peringkat kerajaan negeri, kita mesti menegakkan Perlembagaan.

“Kedudukan Ketua Menteri ketika ini bercanggah dengan Perlembagaan apabila tidak mempunyai parti dan bukan ketua parti.

“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), hanya (bertanding pada) Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.

“Jadi, kita mengambil ketetapan (kekal dengan pendirian) dan serahkan kepada kebijaksanaan TYT (Yang di-Pertua Negeri Sabah) untuk membuat keputusan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat kepimpinan tertinggi KDM, di sini, kemarin.

Peter yang juga ADUN Melalap mendakwa tindakan pihaknya bukan untuk merancang perebutan kuasa, sebaliknya hanya mahu mempertahankan Perlembagaan.

Namun, beliau berkata, KDM akan akur dengan sebarang keputusan bakal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan ke Sabah untuk berjumpa dengan ketua-ketua parti bagi menyelesaikan kemelut politik itu.

“Kita berharap akan ada satu ketetapan agar kestabilan politik berlaku selepas ini,” katanya.

BACA JUGA:

Sektor Korporat akan menghadapi empat cabaran besar tahun ini

Isu Kenaikan Harga Hotel di Tanah Suci cuba ditangani walaupun diluar kawalan kerajaan

Wanita berumur 50-an bergiat dalam dunia lukisan selepas pandemik