PGIRM desak kerajaan benarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM) mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran segera wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara bersasar sebelum sesi persekolahan 2023 bermula.
Presidennya, Azmi Mohd Tahir menegaskan, ramai pencarum yang mengharapkan simpanan berkenaan ekoran terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim, kami ingin menjelaskan selepas beberapa sesi soal jawab bersama pencarum yang tertekan dan terdesak, kami dapati hampir kesemua yang dimaksudkan bukanlah bergantung harap sepenuhnya pada wang KWSP, tetapi keadaan memaksa dan tiada pilihan lain.
“Pengeluaran secara bersasar adalah satu tuntutan pengeluaran kecemasan KWSP kepada pencarum yang sangat terkesan dengan kos sara hidup.
“Pencarum memerlukan wang simpanan titik peluh mereka dan kami berharap kerajaan dapat meluluskan (pengeluaran) dengan segera sebelum sesi persekolahan 2023 dibuka,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024, akan bermula pada 19 Mac 2023 bagi negeri Kumpulan A manakala 20 Mac bagi negeri Kumpulan B.
Dalam pada itu Azmi menjelaskan, pencarum tidak hanya bergantung kepada simpanan KWSP semata-mata, namun tiada pilihan lain kerana amat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Satu demi satu harga barangan naik dan tidak dapat menampung kelangsungan hidup kerana pendapatan yang tidak seimbang dan pekerjaan tidak stabil.
“Hanya satu jalan terakhir adalah dengan membenarkan pengeluaran kecemasan KWSP secara bersasar bagi pencarum meneruskan kelangsungan hidup mereka,” tegasnya.
BACA JUGA:
Pencerobohan Lahad Datu, waris Kesultanan Sulu dedah kisah tuntutan ke atas Sabah
Nak main lato-lato kena berhati-hati! Ni doktor pesan beberapa tip keselamatan, elak cedera