Pihak yang tidak berhenti meracun fikiran rakyat isu kaum, agama berdepan tindakan tegas, amaran Sultan Perak

Pihak yang tidak berhenti meracun fikiran rakyat isu kaum, agama berdepan tindakan tegas, amaran Sultan Perak. Tindakan tegas dan segera wajib diambil untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada melalui ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu agama dan kaum.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan, pandangan ekstrim berunsur kaum dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemai rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama kaum, wajib dihentikan.

“Bumi ini tidak boleh dibenarkan untuk disemai dengan rumpai-rumpai beracun yang boleh membunuh pohon perpaduan langit di negeri ini, jangan sama sekali dibenarkan untuk diselubungi awan-awan berasid yang akan menghujani bumi dengan fahaman ekstremis berlandaskan perkauman dan berpaksikan agama.

“Tindakan segera Polis Diraja Malaysia (PDRM) pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengambil langkah preventif untuk menjamin ketenteraman awam merupakan tindakan yang tepat,” titah baginda semasa merasmikan Sidang Pertama Dewan Undangan Negeri Perak ke-15,pada Selasa.

Sultan Nazrin turut bertitah, negara memiliki elemen yang begitu mudah untuk dieksploitasi mencetuskan anarki, kerukunan perhubungan kaum yang telah diasaskan sejak era pra merdeka dan terus dipupuk sepanjang era pasca Merdeka tidak boleh diperjudikan kerana permainan politik yang berunsur meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat.

Oleh itu, Baginda bertitah agar setiap individu berperanan untuk memastikan hubungan harmoni antara kaum terus disuburkan dan persfahaman antara pengikut pelbagai agama terus dipupuk.

“Warga di negara ini terutamanya generasi muda perlu diberikan bimbingan dan fahaman mengenai sistem berkerajaan dan bernegara yang berteraskan doktrin Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Serta pentingnya warga memahami dan menghayati lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara untuk dijadikan pedoman dalam usaha mahu memupuk warga yang bersatu-padu yang hidup penuh harmoni dalam sebuah negara Merdeka daulat, aman lagi makmur,”

Sultan Nazrin turut bertitah, rakyat yang berbilang kaum mengamalkan pegangan agama yang berlainan, mewarisi budaya yang beraneka dan menguasai pelbagai bahasa.

“Banyak negara di dunia berakhir dengan perang saudara kerana rakyatnya memilih untuk berbalah, bertelagah, bersengketa dan berkonfrontasi atas faktor-faktor perbezaan kasta, kaum, warna kulit dan agama.

“Jika perbezaan yang mahu diberikan fokus, maka kita sebenarnya memilih menulis resipi untuk melahirkan warga yang akan berselisih, berkonflik dan berpecah belah.

Jika kita mahu memperbesarkan perbezaan, kita sebenarnya telah memilih membina tembok pemisah untuk tidak memungkinkan terbinanya masyarakat yang bersatu, masyarakat yang menerima dan meraikan perbezaan, masyarakat yang menghormati realiti kepelbagaian, dan masyarakat yang melihat kepelbagaian secara positif yang mengandungi kekayaan dan kekuatan.

“Di sebaliknya, jika secara bijak, perbezaan berjaya didandan dan dipintal, akan teranyam hamparan keharmonian yang indah lagi berwarna-warni. Persefahaman dan hubungan yang harmoni antara kaum merupakan faktor penentu untuk menjamin suasana hidup bernegara dan bernegeri yang aman dan harmoni.

Baginda turut bertitah, Negara dan negeri yang warganya hidup dalam aman dan harmoni akan dapat menumpukan fikiran, tenaga dan usaha, untuk menarik pelabur dan pelancong, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, merancakkan pembangunan negeri dan melimpahkan kemakmuran kepada rakyat.

BACA JUGA:

Lanjut lagi sehingga 5 Januari, keputusan polis perintah berkurung ke atas perairan 7 daerah di Sabah

Basmi tabiat bazir dan tiris, bermula dengan hentikan amalan runding terus seperti projek-projek KASA di bawah pimpinan PAS sebelum ini, tegas Anwar

Baca berita-berita baik untuk rakyat Malaysia, hasil kestabilan Kerajaan Perpaduan dan aura Anwar sebagai pemimpin negara