PMX ziarah sahabat lama meskipun jadual padat

PMX ziarah sahabat lama meskipun jadual padat.

Meskipun sibuk dan mempunyai jadual padat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi sahabat lamanya di Kampung Banggol, Pokok Sena, di sini, dalam program lawatan pertamanya di Pulau Pinang, hari ini.

Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengunjungi bekas Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Mohammed Yussof Abd Latiff, 84, dan isteri, Datin Safiah @ Che Piah Salleh,79.

Perdana Menteri tiba di rumah Mohammed Yusof pada jam 5.51 petang dan meluangkan masa kira-kira setengah jam berbual. Beliau juga sempat menjamah bubur durian bersama pulut dan kuih muih yang disediakan.

Mohammed Yussof yang menghidap penyakit angin ahmar sejak 30 tahun lalu, berkata beliau sangat gembira dan bersyukur kepada Allah dengan kehadiran Perdana Menteri untuk menziarahinya hari ini.

“Datuk Seri Anwar ni kawan dan sahabat saya sejak saya di ABIM lagi, masa tu saya YDP (Yang Dipertua) di Pulau Pinang, beliau pula presidennya di peringkat nasional, kiranya lebih 50 tahun dah berkawan.

“Boleh kata kalau beliau balik sini (Pulau Pinang), memang dia akan datang rumah saya ni. Masa dalam ABIM, kami sama-sama buat markas ABIM di sini, buat usrah panggil pensyarah-pensyarah, juga buat usrah ke rumah-rumah,” katanya.

Mohammed Yussof yang merupakan ADUN Sungai Dua selama sepenggal dari 1990 hingga 1995, berkata beliau terlibat dalam politik ketika itu adalah atas dorongan dan sokongan Anwar sendiri.

“Hari ini sangat-sangat seronok dan bersyukur kepada Allah. Kami gembira dengan kehadiran Perdana Menteri ke rumah, paling penting saya masih lagi ingat dan ‘tak gelong lagi’, Alhamdulillah saya bersyukur.

“Saya doakan Perdana Menteri terus berkhidmat untuk kita semua kerana kebijaksanaan beliau memang diperlukan oleh semua terutama dunia Islam, insya-Allah,” katanya.

Beliau yang lumpuh bahagian kanan badan, berkata semasa berbual dengan Anwar, Perdana Menteri sempat berpesan kepadanya supaya banyak bersabar dengan keadaan kesihatannya.

“Anwar pesan saya banyak-banyak bersabar dan jangan lupa Allah kerana dari-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali,” katanya yang mempunyai empat anak dan 11 cucu.

BACA JUGA :

Gelendangan jadikan tempat duduk Terminal Bas Komtar sebagai ‘rumah’

Master Lim buat kepala singa untuk CNY, dapat sambutan sehingga ke Perancis, Amerika

Lawatan Anwar ke Brunei, akan saksikan pemeteraian MoU antara MIDA, BIA

COMMENTS

Wordpress (4)
  • […] PMX ziarah sahabat lama meskipun jadual padat […]

  • […] PMX ziarah sahabat lama meskipun jadual padat […]

  • […] PMX ziarah sahabat lama meskipun jadual padat […]