PN menang undi belanjawan tapi Muhyiddin masih PM tanpa keabsahan

PN menang undi belanjawan tapi Muhyiddin masih PM tanpa keabsahan

Setakat hari ini, 1 Dis 2020 kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memenangi tiga kali undian peringkat jawatankuasa dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Pada Isnin 30 Nov kerajaan PN memenangi undi belah bagi bagi Anggaran Belanjawan Jabatan Perdana Menteri dengan 105 menyokong berbanding 95 undi menolak.

Pada hari yang sama kerajaan PN menang sekali lagi undi belah bagi bagi meluluskan Anggaran Belanjawan Kementerian Kewangan dengan belahan undi 106 menyokong dan 95 menolak.

Pada 1 Dis anggaran belanjawan bagi Kementerian Luar dan Kementerian Perpaduan Negara diluluskan dengan undi suara. Tiada undian belah bagi dijalankan.

Tetapi pada hari yang sama di sebelah petang, Anggaran Belanjawan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi diluluskan hanya setelah dilakukan undi belah bagi dengan keputusan 108 menyokong dan 95 menolak.

Apakah pengertian daripada jumlah undi-undi belah bagi setakat ini?

Pengertian pertama ialah, anggaran belanjawan bagi kementerian-kementerian yang berkaitan telah diluluskan secara sah.

Namun adakah ini bermakna kedudukan pimpinan Muhyiddin juga sah apabila PN menang 3-0 dalam pengundian belah bagi bagi meluluskan anggaran belanjawan di peringkat jawatankuasa?

Jawapannya: tidak. Kelulusan belanjawan tidak meletakkan syarat majoriti mutlak. Menang undi majoriti mudah daripada jumlah ahli Dewan Rakyat yang hadir pada ketika pengundian belah bahagi itu dijalankan mencukupi untuk dikatakan menang dengan majoriti dan belanjawan itu diluluskan.

Tetapi ia berbeza dengan jawatan perdana menteri. Keabsahan jawatan perdana menteri memerlukan undi majoriti yang mutlak, bukan setakat daripada jumlah ahli Dewan Rakyat yang hadir ketika pengundian dijalankan.

Sebaliknya ia memerlukan undi keseluruhan jumlah ahli Dewan Rakyat yang dipilih dalam pilihan raya umum (PRU) lalu. Dalam PRU ke-14 seramai 222 ahli parlimen dipilih oleh rakyat iaitu bilangan yang mandatori dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang daripada bilangan 222 yang disebut secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Setakat ini seorang ahli parlimen dari blok pembangkang meninggal dunia iaitu bagi kawasan Batu Sapi di Sabah.

Di blok kerajaan juga seorang ahli parlimennya meninggal dunia iaitu wakil bagi kawasan Gerik di Perak. Ini menjadikan jumlah ahli Dewan Rakyat sekarang ada seramai 220.

Jumlah treshold (jumlah ambang) yang dikatakan syarat majoriti yang diperlukan oleh Muhyiddin untuk mengesahkan jawatannya sebagai perdana menteri yang ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan keabsahan kerajaan PN ialah sebanyak 111.

Setakat tiga undian belah bagi yang dijalankan, perolehan undian tertinggi didapat kerajaan hanyalah 108 sahaja. Kerajaan PN belum lagi mencapai jumlah ambang atau treshold sebanyak 111 undi.

Kesimpulannya, setakat hari ini Muhyiddin – yang dipilih menjadi perdana menteri mulai 1 Mac lalu – dan kerajaannya masih belum dapat membuktikan majoriti yang dituntut oleh perlembagaan.

Kerana itu keabsahan Muhyiddin dan kerajaan PN pimpinannya masih lagi dipersoalkan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/553368