Kerajaan memberikan tempoh kepada Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh sehingga berakhirnya sidang parlimen petang ini untuk membuktikan bahawa mendiang ayahnya, Karpal Singh pernah memainkan rakaman audio di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang), Takiyuddin Hassan berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan ahli parlimen DAP itu dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan kerana mengelirukan Dewan.
Semalam, Ramkarpal cuba memainkan rakaman audio yang didakwa mirip suara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di parlimen.
Dalam rakaman itu, suara berkenaan mengatakan bahawa ahli parlimen Umno boleh dipikat untuk menyertai Bersatu sekiranya mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ramkarpal pada mulanya cuba memainkan rakaman audio tersebut, namun tindakan itu dihentikan oleh Timbalan Speaker, Azalina Othman Said.
Dalam mempertahankan tindakannya, Ramkarpal berkata mendiang bapanya, Karpal pernah memainkan rakaman audio bekas ketua hakim negara, Zaki Azmi di Dewan Rakyat pada 2007.
Ramkarpal merujuk kepada rakaman Zaki yang didakwa mengatakan bahawa dia menerima rasuah ketika menjadi peguam.
Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini, berkata semakan terhadap rekod Parlimen mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan perkara itu berlaku.
“Dengan ini ditegaskan bahawa dakwaan YB Bukit Gelugor tersebut adalah tidak berasas dan merupakan satu perbuatan mengelirukan Dewan, yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Oleh itu demi keadilan dan faedah keraguan (benefit of the doubt), YB Bukit Gelugor adalah diberi peluang untuk membuktikan dakwaan tersebut, sehingga berakhirnya sidang Parlimen hari ini, 22 Julai 2020,” jelasnya.
Parlimen hari ini berakhir pada jam 7.30 malam.
Rakaman video bertarikh 29 Februari 2009 menunjukkan Karpal cuba memainkan satu klip audio di Dewan Rakyat, tetapi ia ditolak oleh speaker ketika itu.
Berita penuh :