Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) kesal kerajaan menarik balik pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan penggal jawatan perdana menteri kepada 2 penggal, mengatakan Perikatan Nasional mensia-siakan peluang untuk melaksanakan reformasi.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad; dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam kenyataan menjelaskan pindaan itu memastikan seseorang tidak memegang jawatan perdana menteri untuk tempoh terlalu lama “yang memungkinkan dia boleh mengambil kesempatan ke atas kedudukan tersebut”.
“Pindaan tersebut diharap akan dapat memberi peluang kepada lebih ramai pimpinan politik baharu untuk berkhidmat sebagai perdana menteri dan menutup kemungkinan budaya pendewaan seseorang pemimpin,” kata mereka.
Mereka berkata pusingan U itu menunjukkan PN tiada falsafah perjuangan, wawasan, atau visi besar untuk negara, dan hanya berminat memegang kuasa.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini mengumumkan PN tidak bercadang untuk meminda Perlembagaan untuk menetapkan had penggal jawatan perdana menteri, selepas pemerintah menarik bali rang undang-undang berkenaan.
Beliau berkata penarikan balik itu mengikut peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat dan pemerintah tidak perlu memberi alasan untuk menarik balik RUU itu.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, pula mendedahkan keputusan menarik balik RUU itu dibuat secara sebulat suara.
RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 dibentangkan pentadbiran lepas pada Disember tahun lalu.