Polis rampas 8,907 unit cecair vape, dianggar bernilai RM300,000

Polis rampas 8,907 unit cecair vape, dianggar bernilai RM300,000.

Polis menahan seorang lelaki dan merampas 8,907 unit cecair vape pelbagai perisa dan peranti selepas melakukan serbuan di sebuah premis di Taman Flora Utama di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Assisten Komisioner Ismail Dollah berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin Wilayah 2 melakukan serbuan itu pada jam 4.30 petang.

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki penjaga dan pemilik premis tersebut berusia lingkungan 40 tahun.

“Polis juga merampas sebanyak 8,907 unit pelbagai jenis cecair vape dan peranti. Harga pasaran semua barangan yang dirampas dianggarkan berjumlah RM300,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek yang ditahan dibuat ujian saringan awal air kencing dan keputusan awal mendapatinya negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah serta tiada rekod jenayah.

Suspek ujar beliau, ditahan reman selama tiga hari bermula Selasa sehingga 10 Februari ini untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000.

BACA JUGA:

Mangsa banjir Pahang masih tinggi, seramai 2,797 di 20 PPS

Dua beradik diserang buaya, abang parah manakala adik cedera

Pasukan SMART masuk ke kawasan bencana, bantu misi mencari dan menyelamat di Selatan Turkiye