Pondok pengajian agama warga emas dulunya sebuah resort terkenal berharga RM19 juta. Cherating Bay Resort pada masa dahulu merupakan antara resort terbaik dan salah satu resort termurah di Cherating. Tempat penginapan yang menajdi pilihan sesiapa saja yang datang bercuti di Kuantan.
Mungkin ramai yang tidak tahu, semakin hari nama resort ini makin lenyap dari sebutan pengunjungnya. Akhirnya terbiar begitu saja, boleh dikatakan terbiar ditutupi semak samun dengan struktur unit penginapan rosak.
Kini, resort yang cukup dikenali satu waktu dahulu telah berubah menjadi pondok pengajian agama warga emas.
“Saya bukan orang yang arif dalam agama, malah saya juga pernah lalai, tetapi saya ingin kembali ke jalan Allah dan bersyukur diberikan hidayah,” kata Ramli Nordin, 73, pemilik Cherating Bay Resort, sebuah resort bernilai hampir RM19 juta yang terbiar usang di Cherating.
Kini, sebahagian resort yang mempunyai 164 unit apartment itu dijadikan pondok agama khusus untuk golongan warga emas dikenali sebagai Pondok Warga Emas At-Tahwil yang diuruskan sejak tahun 2021.
Ramli berkata, resort yang diusahakannya lebih 20 tahun lalu itu akhirnya ‘gulung tikar’ pada 2018 disebabkan kegawatan ekonomi dan pertukaran polisi kerajaan.
“Sejak itu, resort ini terbiar sehingga menjadi semak samun, jadi apabila saya datang ke sini, saya mahu buat sesuatu supaya tempat ini boleh digunakan semula.
“Saya berbincang dengan keluarga dan rakan, jadi timbul idea untuk menjadikan sebahagian resort ini sebagai pondok agama untuk warga emas,” katanya.
Ramli berkata, dengan bantuan pelbagai pihak, pondok warga emas terbabit dapat dibangunkan, malah sudah beroperasi, selain dapat membina sebuah surau baharu bagi kegunaan penghuni pondok hasil sumbangan orang ramai.
“Impian saya supaya pondok ini dapat dibangunkan dengan sempurna, seterusnya menjadi pusat dakwah dan penyebaran maklumat mengenai Islam terutama kepada pelancong asing.
“Namun usaha itu terbantut kerana kami tidak mempunyai cukup dana untuk menampung kos baik pulih unit apartment yang rosak dengan anggaran kos sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 seunit,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Pondok At-Tahwil, Fatimah Awang Lah, 75, berkata pondok ini mula beroperasi pada Oktober 2021 dan kini mempunyai 12 penghuni termasuk ibu tunggal serta dua pasangan suami isteri.
“Selepas perbincangan dengan pemilik resort dan beberapa pihak lain, kami bersama-sama berusaha membangunkan pondok ini menerusi Pertubuhan Amal At-Tahwil.
“Pada peringkat awal, hanya tiga penghuni yang tinggal di pondok ini, namun kini kami sudah membaik pulih 10 unit apartment untuk kegunaan pondok.
“Terdapat 26 unit lagi perlu diperbaiki, namun usaha itu terbantut kerana tidak mempunyai dana mencukupi,” katanya ketika ditemui, di sini.
Fatimah berkata, aktiviti harian dilakukan di sini termasuk solat berjemaah setiap waktu, kuliah subuh setiap hari, kelas mengaji al-Quran, bacaan hadis dan kuliah untuk tiga kali seminggu.
Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan mahu menjadikan pondok ini sebagai perintis konsep pelancongan ibadah berikutan lokasinya terletak di kawasan pelancongan popular di negeri ini.
“Kami bercadang membaik pulih beberapa unit apartment untuk dijadikan ‘homestay’ khusus untuk pengunjung yang mahu datang bercuti sambil beribadah atau ahli keluarga penghuni yang datang menziarah.
“Sebagai contoh mereka datang sebuah keluarga termasuk ibu dan ayah, jadi ibu dan ayah mereka boleh mengikuti pakej kursus agama yang kami sediakan, manakala ahli keluarga lain boleh berlibur di sekitar Cherating,” katanya.
BACA JUGA :
Tunggang motosikal dengan aksi berbahaya, lima lelaki ditahan
Sanusi anggap Rafizi seolah menghina pengundi berkaitan wang rasuah semasa PRU15
Rumah pemandu bas disamun 4 lelaki bersenjata, alami kerugian RM 30,000