Cadangan pemotongan gaji menteri Kabinet sebanyak 30 peratus dilihat tidak akan membantu kurangkan beban kerajaan dalam tempoh berdepan dengan pandemik COVID-19.
Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis berpendapat bahawa ia bukan satu cadangan yang baik untuk merancakkan semula ekonomi negara dan membasmi wabak COVID-19.
“Kalau kita melihat keadaan semasa, ada negeri-negeri malah meningkatkan gaji Exco negeri dan sebagainya atas alasan tertentu.
“Namun, kalau dilihat secara umum, mungkin dalam konteks ini Tun Mahathir melihat gaji itu perlu dipotong kerana ini merupakan Kabinet yang memiliki saiz menteri yang paling besar.
“Secara umum, ia bukan sesuatu yang baik untuk membasmi COVID dan merancakkan kembali ekonomi yang terkesan,” kata Mujibu kepada Astro AWANI pada Khamis.
Terdahulu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, di Dewan Rakyat pada Khamis bersetuju dengan cadangan supaya gaji menteri dipotong sebanyak 30 peratus.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata beliau yakin setiap menteri tidak akan kebuluran sekiranya cadangan itu dilaksanakan.