Prakash didakwa menipu wanita, yang juga Penolong Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hingga kerugian sebanyak lebih RM500k

Prakash didakwa menipu wanita, yang juga Penolong Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hingga kerugian sebanyak lebih RM500k. Seorang tukang tilik warga India didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas kesalahan menipu dan memperdayakan seorang wanita sehingga mengalami kerugian lebih RM500,000 pada Mac hingga Oktober lepas.

Tertuduh, N. Prakash, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu Penolong Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berusia 59 tahun itu dengan memperdayakannya untuk mempercayai dirinya boleh menilik nasib dan mengubati penyakit sehingga wanita tersebut menyerahkan wang berjumlah RM516,450.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Nombor 20, Lorong Perda Selatan 2, Bandar Perda, Bukit Mertajam di antara 23 Mac hingga 18 Oktober 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nurul Nadia Jamal, manakala tertuduh diwakili peguam R. Kumarappan.

Mohd Harith membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin rakyat tempatan.

Selain itu, syarat tambahan juga dikenakan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu iaitu pada setiap Isnin tidak lebih jam 11 pagi.

Mahkamah menetapkan 31 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Tertuduh sebelum ini pernah diculik sekumpulan individu dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatannya yang didakwa menipu wang berjumlah lebih setengah juta itu.

Tertuduh yang disembunyikan di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kedah dengan kakinya diikat dengan rantai besi berjaya diselamatkan polis bulan lalu selepas keluarga lelaki berkenaan membuat laporan polis mengenai penculikan tersebut.

Difahamkan, suspek telah menghubungi keluarga tukang tilik berkenaan yang berada di negara asal untuk meminta wang tebusan sebanyak RM700,000.

BACA JUGA:

Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa kawal selia bagi bekalan gas daratan di Sabah berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong

Kemalangan di Kilometer 25.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), meninggal dunia selepas 3 hari di hospital

Amaran hujan berterusan dan banjir hampir di setiap negeri, baca untuk maklumat lanjut

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Prakash didakwa menipu wanita, yang juga Penolong Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN… […]