Presiden Sri Lanka lari ke Maldives. Presiden Gotabaya Rajapaksa telah meninggalkan Sri Lanka, demikian menurut seorang pegawai tinggi keselamatan, sejurus sebelum beliau dijadualkan meletak jawatan secara rasmi hari ini.
Saluran berita CNN melaporkan pegawai berkenaan sebagai berkata, Rajapaksa dan isterinya menaiki pesawat pengangkut AN32 milik Tentera Udara Sri Lanka menuju ke bandar Male di kepulauan Maldives.
Menara kawalan udara Maldives membenarkan pesawat itu mendarat hanya selepas menerima campur tangan daripada Speaker Parlimen Maldives yang juga bekas presidennya, Mohamed Nasheed, demikian menurut CNN.
Rajapaksa sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Sri Lanka sekurang-kurangnya untuk dua kali kelmarin selepas enggan beratur seperti orang awam lain di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, kata sumber tentera kepada CNN.
Beberapa pembantu Rajapaksa tiba di lapangan terbang berkenaan di Colombo kelmarin dengan membawa 15 pasport milik beliau dan ahli keluarganya termasuk Wanita Pertama Sri Lanka, Ioma Rajapaksa.
Ioma telah menempah sejumlah tempat duduk dalam sebuah penerbangan Sri Lankan Airlines menuju ke Dubai pukul 6.25 petang (waktu tempatan).
Pegawai-pegawai imigresen enggan memproses pasport yang diberikan kepada mereka kerana Rajapaksa dan keluarganya tidak hadir sendiri untuk pemeriksaan. Akhirnya pesawat tersebut berlepas tanpa Rajapaksa dan keluarganya.
Satu lagi cubaan dilakukan untuk meletakkan keluarga Rajapaksa di dalam sebuah penerbangan Etihad yang dijadual meninggalkan Colombo menuju ke Abu Dhabi pada pukul 9.20 malam (waktu tempatan) tetapi masalah serupa berlaku.
Rajapaksa dituduh terlibat dalam rasuah dan penyelewengan ekonomi sehingga menyebabkan Sri Lanka muflis dan mencetuskan krisis kewangan terburuk sejak kemerdekaan negara itu.
BACA JUGA :
Wajah bakal isteri Shahir Zawawi akhirnya didedahkan, peminat tumpang gembira
Didakwa tak ada bukti nak saman Ira Kaza, ini jawapan Puteri Sarah