PRN Sabah : Musa bakal perangi BN jika tidak tercalon?

Keputusan menggugurkan bekas ketua menteri Musa Aman daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya negeri itu bakal mengundang padah kepada gabungan itu, kata penganalisis.

Tony Paridi Bagang dari TiTM Sabah berkata, BN akan menyesali langkahnya untuk menggugurkan tokoh besar politik seperti Musa, terutama sekali selepas beliau mengumumkan niatnya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila dalam Parlimen Libaran.

“Musa mempunyai sokongan akar umbi yang kuat. Justeru langkah menggugurkannya daripada senarai calon akan menyebabkan penyokong beliau mengundi menentang BN,” katanya kepada FMT, merujuk kepada kemungkinan berlakunya sabotaj dari dalam gabungan itu.

“Namun begitu, kita juga mahu tahu kenapa Musa tidak tersenarai. Ia hanya menimbulkan spekulasi dan mewujudkan persepsi negatif.”

Astro Awani melaporkan pengerusi jentera pilihan raya BN Bung Moktar Radin berkata bahawa Musa tidak termasuk dalam senarai gabungan itu bagi pilihan raya tersebut.

Pengerusi Umno Sabah itu berkata, tiada perbincangan diadakan berhubung kemungkinan Musa bertanding di Sungai Manila walaupun beliau mengisyaratkan perkara itu sebelum ini.

“Namanya tidak ada dalam senarai calon BN yang akan diumumkan esok (hari ini),” kata Bung seperti dilaporkan oleh portal berita itu.

BN dijadualkan mengumumkan senarai calonnya pada jam 10 pagi ini.

Dalam pada itu, Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah juga bersetuju bahawa sekiranya Musa digugurkan, maka ia akan menyebabkan BN kehilangan sokongan, terutamanya undi.

“Ramai penyokong tegar Musa akan membantah (penggugurannya),” katanya.

FMT cuba menghubungi pemimpin Umno, tetapi mereka enggan memberi komen, sebaliknya memilih untuk menunggu selepas Bung mengumumkan senarai calon hari ini.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Musa menimbulkan spekulasi berhubung kerusi yang bakal ditandinginya dalam PRN Sabah.

Musa yang merupakan penyandang kerusi DUN Sungai Sibuga menulis, “saya akan kembali ke Sungai Manila”.

Dalam pada itu, Bagang berkata, sekiranya kenyataan Bung itu benar, maka ia membuktikan kewujudkan kumpulan dalam BN, terutamanya Umno.

“Namun ia mungkin juga strategi politik bagi membolehkan sekutu BN/Perikatan Nasional mendapat kerusi.

“Siapa tahu, beliau (Musa) mungkin akan bertanding di bawah lambang lain, mungkin STAR atau PBS,” katanya.

Romzi bagaimanapun percaya dengan Musa terkeluar, sokongan kepada BN mungkin bertambah kerana gambaran tentang individu yang bakal dillantik sebagai ketua menteri menjadi lebih jelas.

“Langkah (menggugurkan Musa) boleh menatijahkan lebih banyak undi sekiranya pengundi melihatnya sebagai usaha bagi memastikan hanya ada 1 calon ketua menteri dalam kalangan pembangkang di Sabah,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/09/10/bn-undang-padah-jika-gugurkan-musa-aman-kata-penganalisis/